Sultan Selangor tegur pihak ingar larangan ternakan babi

LocalPolitics
20 Apr 2026 • 1:29 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Sultan Selangor tegur pihak ingar larangan ternakan babi
Sultan Selangor berkenan memeriksa perbarisan kawalan kehormat Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ke-15 tahun 2025 di Dewan Negeri Selangor hari ini. Foto Bernama

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menegur sikap segelintir pihak yang masih tidak berpuas hati serta enggan mematuhi titah larangan penternakan babi di negeri ini.

Baginda bertitah, meskipun arahan telah dikeluarkan sebelum ini, masih kedengaran rungutan yang mempertikaikan keputusan berkenaan.

"Beta telah memberikan faktor-faktor kenapa ternakan babi tidak sesuai di negeri Selangor antaranya faktor tanah yang tidak mencukupi dan ternakan babi diadakan di kawasan penempatan penduduk yang padat dengan umat Islam.

"Di samping itu isu pencemaran sungai dan udara juga menjadi faktor kenapa ternakan babi di negeri Selangor tidak sesuai," titah baginda sempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini pada Isnin.

Sehubungan itu, baginda menegaskan agar semua pihak menghormati keputusan tersebut demi kesejahteraan rakyat serta kelestarian alam sekitar.

"Beta telah menyarankan agar isu ini diselesaikan dengan mengimpot daging babi dari luar terutamanya dari negeri Sarawak untuk bekalan kaum bukan Islam yang memerlukannya," titah baginda.

Sinar Harian pada 10 Februari lalu melaporkan, Sultan Selangor tidak berkenan penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di negeri ini kerana dikhuatiri menimbulkan pencemaran alam sekitar dan keresahan masyarakat.