Banjir: Yayasan MBI buka kaunter PLATS di PPS, bantu peniaga terjejas daftar

27 Nov 2026 • 6:12 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

KUALA LANGAT, 27 NOV: Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI membuka kaunter pendaftaran Platform Selangor (PLATS) di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Rancangan Tanah Belia Bukit Changgang bagi memberi peluang kepada peniaga yang terjejas banjir menyertai platform berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan MBI, Ahmad Azri Zainal Nor berkata inisiatif itu dibawa selepas pihaknya mendapati ramai mangsa yang ditempatkan di PPS berkenaan terdiri daripada peniaga dan usahawan dalam talian.

Image from: Banjir: Yayasan MBI buka kaunter PLATS di PPS, bantu peniaga terjejas daftar
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan MBI, Selangor Ahmad Azri Zainal Nor ditemu duga semasa Serahan Sumbangan Mangsa Bencana Banjir di PPS SK RTB Bukit Changgang, Kuala Langat pada 27 November 2026. Foto ADAM DARWISH/MEDIA SELANGOR

"Saya dimaklumkan ramai juga mangsa di sini adalah peniaga dan usahawan dalam talian. Justeru, hari ini saya bawa Platform Selangor, inisiatif keusahawanan di bawah Yayasan MBI, untuk kita daftarkan mereka," katanya ketika ditemui Media Selangor di PPS berkenaan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) turut menyediakan kemudahan internet tambahan bagi memenuhi keperluan komunikasi mangsa sepanjang berada di PPS.

Ahmad Azri berkata, kemudahan itu disediakan sehari sebelum lawatannya bagi mengatasi kemungkinan gangguan capaian susulan peningkatan jumlah pengguna.

"Paling penting adalah keperluan mencukupi di PPS ini supaya lebih selesa. Semalam pun SKMM telah hadir ke PPS ini untuk membekalkan internet kerana apabila ramai orang berada di sini, capaian telefon biasanya akan terganggu. Jadi, mereka membekalkan internet tambahan untuk keperluan di sini," katanya.

Image from: Banjir: Yayasan MBI buka kaunter PLATS di PPS, bantu peniaga terjejas daftar
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan MBI, Ahmad Azri Zainal Nor menyerahkan bantuan semasa Serahan Sumbangan Mangsa Bencana Banjir di PPS SK RTB Bukit Changgang, Kuala Langat pada 27 November 2026. Foto ADAM DARWISH/MEDIA SELANGOR

Selain itu, Yayasan MBI turut menyalurkan sumbangan bernilai lebih RM30,000 berupa makanan kering, air mineral, toto, tilam, cerek elektrik, mesin pancutan air dan barangan keperluan asas lain.

Bantuan itu membabitkan lebih 700 mangsa daripada lebih 200 keluarga yang ditempatkan di PPS berkenaan serta sebuah lagi PPS di Labohan Dagang yang dibuka susulan kepadatan mangsa.

Ahmad Azri berkata, Yayasan MBI bersedia menambah bantuan mengikut keperluan semasa mangsa yang terjejas.

Mengulas perkembangan banjir, beliau memaklumkan ban yang pecah telah selesai dibaiki sepenuhnya pada malam sebelumnya dan air sungai tidak lagi memasuki kawasan terjejas.

Sementara itu, sebarang pengumuman berhubung bantuan pascabanjir akan dimaklumkan kemudian oleh Dato' Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Amirudin Shari.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved