Lebih 1,000 mangsa banjir Selangor masih tinggal di PPS

LocalEnvironment
17 Nov 2026 • 10:56 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Banjir Selangor

PETALING JAYA: Lebih 1,000 mangsa bah di Selangor, hari ini masih ditempatkan di enam Pusat Penempatan Sementara (PPS) di Kuala Selangor berikutan kediaman mereka berdepan banjir termenung sejak minggu lalu.

Situasi tersebut dibimbangi mengganggu persiapan pelajar Tingkatan 5 di kawasan terjejas yang bakal menduduki peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula Isnin depan.

Menerusi maklumat daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak enam sekolah dijadikan PPS yang menempatkan 307 keluarga iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’ Maharaja Lela, SK Parit Mahang, Sekolah Rendah Agama (SRA) Bukit Kuching, Kafa Integrasi Hidayah Bukit Cherakah, Dewan Orang Ramai Bukit Kuching Tengah dan Sekolah Agama Batu 8 Ijok.

Seramai 1,154 mangsa ditempatkan di keenam-enam PPS berkenaan termasuk 93 warga emas, 426 kanak-kanak dan 36 bayi. 18 orang kurang upaya (OKU) turut ditempatkan di lokasi tersebut.

Tinjauan menerusi Info Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor pula mendapati terdapat kawasan air bertakung di ladang sawit berhampiran Pintu Air Ijok.

Manakala paras air parit di Jalan Rizab Derahman, Bukit Hijau dilihat masih tinggi walaupun cuaca cerah ketika ini.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Harrison Hassan sebelum ini memaklumkan, beliau menggesa agensi berkuasa seperti JPS supaya menyegerakan penggalian parit-parit utama supaya air banjir dapat mengalir.

Beliau berkata, kerja pengorekan wajib dibuat secara berkala, malah lebih kerap supaya limpahan air mudah surut dan mengelakkan banjir berulang.

“Seharian saya meronda di Kampung Bukit Kuching Tengah dan Kampung Bukit Hijau (kelmarin). Saya dan pasukan Pusat Khidmat DUN Jeram cuba sedaya upaya untuk membantu mana yang mampu. Sedikit bantuan dihulurkan kepada mangsa banjir yang masih berada di rumah.

“Ambillah pengajaran, semua pihak-pihak berkuasa yang dipertanggungjawabkan untuk menyelenggara perparitan di dalam kampung. Kerja pengorekan wajib dibuat berkala dan lebih kerap lagi. Jangan tunggu bila banjir baru hendak korek. Semoga keadaan kembali tenang dan air surut,” katanya.

Banjir di kawasan Jeram dan Ijok dilaporkan bermula sejak awal bulan ini sebelum ia berlarutan menjadi banjir termenung akibat limpahan air di sungai yang mengalir dari kawasan Sungai Buloh dan Damansara.

Keadaan didakwa menjadi semakin buruk susulan hujan lebat pada 5 November lalu yang mencatatkan kadar hujan turun mencecah 103 milimeter (mm). Kemudian hujan kembali turun secara berterusan sejak petang 12 hingga 13 November. – UTUSAN

The post Lebih 1,000 mangsa banjir Selangor masih tinggal di PPS appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved