Bank Islam peroleh ringkasan penghakiman terhadap Ivory Properties atas tuntutan RM17.76 juta

20/06/2025 - 17:59
Oleh 'AINA SYAZWINA
KUALA LUMPUR 20 Jun – Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB) memperoleh penghakiman ringkas daripada Mahkamah Tinggi terhadap Ivory Properties Group Bhd selepas syarikat itu gagal melunaskan kemudahan pembiayaan berjumlah RM17.76 juta.
Syarikat itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, penghakiman itu dibuat susulan permohonan BIMB di bawah Aturan 14 Kaedah-Kaedah Mahkamah, yang membolehkan mahkamah memberikan keputusan tanpa perbicaraan penuh.
Tindakan undang-undang itu membabitkan dua kemudahan pembiayaan yang diberikan kepada Ivory Properties, yang kini disenaraikan di bawah Nota Amalan 17 (PN17) susulan masalah kewangan.
Ivory Properties disenaraikan sebagai PN17 pada Ogos 2022 selepas juruaudit luar, Tetuan KPMG PLT, mengeluarkan penyata penafian pendapat terhadap laporan kewangan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2022 (FY22), sekali gus menimbulkan keraguan terhadap keupayaan kumpulan untuk terus beroperasi.
BIMB menamatkan kemudahan itu pada Oktober 2023 dan menuntut bayaran penuh dalam tempoh 14 hari, namun Ivory gagal melunaskannya.
Pada Disember lalu, kumpulan itu memaklumkan sedang berusaha menjual aset bukan utama bagi menjana dana untuk menyelesaikan jumlah tertunggak.
Selain itu, BIMB turut memfailkan satu lagi saman berasingan untuk menuntut pembayaran tertunggak berjumlah RM19.8 juta.
Pada Mei lalu, syarikat telah menjual bangunan komersial dua tingkat dikenali sebagai The Birch House di George Town, Pulau Pinang pada harga RM18 juta bagi melunaskan hutang bank.
Saham syarikat susut setengah sen atau 25% kepada 1.5 sen, menjadikan modal pasaran kumpulan hanya RM7 juta.
Namun, saham BIMB naik tujuh sen atau 3.11% kepada RM2.32, dengan modal pasaran RM5.26 bilion.- DagangNews.com
standard

