
KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengeluarkan lima amaran kepada Lembaga Tabung Haji (TH) sejak 2014 berhubung jurang aset dan liabiliti yang semakin melebar serta risiko pembayaran agihan keuntungan tinggi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, amaran itu dibuat ketika kedudukan kewangan TH semakin merosot sehingga rizab institusi berkenaan berisiko menjadi negatif.
Menurutnya, walaupun BNM bukan pengawal selia TH, bank pusat itu sudah menyuarakan kebimbangan terhadap kesan amalan pembayaran agihan keuntungan tinggi terhadap rizab TH yang ketika itu berada pada paras rendah.
“BNM mula menyuarakan kebimbangan sejak 2014 mengenai kesan amalan membayar agihan keuntungan tinggi yang menyebabkan rizab yang sudah rendah menjadi negatif.
“Mereka diberi amaran bukan sekali, bukan dua kali, bukan tiga kali tetapi lima kali bahawa keadaan itu perlu diperbetulkan segera bagi memastikan TH tidak melanggar undang-undang,” katanya,” katanya dalam Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Zulkifli, kegagalan menangani masalah berkenaan boleh membawa implikasi serius terhadap kestabilan kewangan negara.
Beliau berkata, RCI mendapati kedudukan kewangan TH akhirnya bertambah buruk sehingga defisit aset berbanding liabiliti melebihi RM10 bilion pada suku keempat 2018.
Katanya, keadaan itu menyebabkan TH berdepan risiko pengeluaran wang secara besar-besaran oleh pendeposi manakala usaha mendapatkan pembiayaan siap siaga sekiranya berlaku bank run turut gagal.
“Keseluruhan deposit TH dijamin kerajaan, sekali gus mendedahkan kerajaan kepada potensi liabiliti kira-kira RM74.5 bilion sekiranya institusi itu mengalami kejatuhan.
“Krisis itu turut diserlahkan melalui penemuan Ketua Audit Negara dalam penyata kewangan 2017, termasuk penegasan perkara berkaitan perubahan dasar kemerosotan nilai TH,” katanya.
Beliau berkata, dasar berkenaan diubah dua kali pada tahun sama, membolehkan TH melaporkan keuntungan lebih tinggi bagi 2017.
Katanya, selepas pertukaran kerajaan pada 2018, lembaga pengarah baharu TH melantik PwC untuk menilai semula kedudukan serta prestasi kewangan institusi itu berdasarkan piawaian perakaunan yang terpakai.
“Semakan itu mendapati TH berada dalam keadaan kewangan kritikal dan mendorong kerajaan melaksanakan pelan penstrukturan semula,” katanya.
Mengulas lanjut, katanya, krisis tersebut menunjukkan kesan kegagalan mengambil tindakan terhadap amaran mengenai kesihatan kewangan TH.
“Amaran daripada BNM bukan tanpa asas. Jika tidak ditangani, ia berisiko membawa kesan serius terhadap kestabilan kewangan negara,” katanya.
Beliau berkata, RCI turut mengesyorkan pembaharuan terhadap tadbir urus, pelaporan kewangan dan pengurusan pelaburan TH, dengan lebih 75 peratus daripada syor berkaitan sudah dilaksanakan.-UTUSAN
The post Bank Negara beri lima amaran isu kewangan TH sejak 2014 appeared first on Utusan Malaysia.





