RCI TH: Lima surat amaran BNM tidak diendahkan – Menteri

LocalBusiness & Finance
11 Aug 2026 • 11:26 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: RCI TH: Lima surat amaran BNM tidak diendahkan – Menteri

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengeluarkan lima siri surat peringatan kepada kepimpinan Lembaga Tabung Haji (TH) sejak 2014 berhubung kedudukan kewangan institusi itu yang semakin membimbangkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Hasan berkata, teguran tersebut dibuat susulan kebimbangan BNM terhadap amalan pembayaran agihan keuntungan yang tinggi ketika rizab TH berada pada kedudukan rendah sehingga berisiko menjadi negatif.

Menurut beliau, BNM walaupun bukan badan pengawal selia TH pada ketika itu, telah membangkitkan kebimbangan mengenai kesan amalan berkenaan terhadap jurang antara aset dan liabiliti TH.

“BNM telah mengeluarkan beberapa surat peringatan sebanyak lima siri kepada Pengerusi TH dan Menteri Hal Ehwal Agama mengenai masalah jurang antara aset dan tanggungan TH.

“Mereka telah diberi amaran bukan satu kali,  bukan dua kali, tetapi lima kali bahawa keadaan itu perlu diperbetulkan segera bagi memastikan TH tidak terus melanggar undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi penerangan berkaitan laporan RCI mengenai TH di Mesyuarat Khas Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Katanya, amaran berkenaan bukan tanpa asas kerana kegagalan menangani masalah tersebut berisiko menjejaskan kedudukan kewangan TH serta kestabilan kewangan negara.

“Jadi apa yang berlaku adalah, surat-surat amaran yang diutuskan BNM tersebut tidak pernah diendahkan, apatah lagi diberi perhatian dan diambil tindakan oleh pengurusan TH pada ketika itu,” katanya.

Zulkifli memberitahu, teguran BNM kemudian disusuli daripada Ketua Audit Negara (KAN) menerusi Laporan Penyata Kewangan TH bagi tahun 2017.

Jelasnya, KAN ketika itu mengeluarkan penegasan perkara (Emphasis of Matter) berhubung perubahan polisi rosot nilai yang dilakukan sebanyak dua kali dalam tahun sama dimana menurut RCI menyebabkan keuntungan bagi 2017 ditunjukkan lebih tinggi.

“Lanjutan teguran pihak berautoriti, Lembaga baharu TH tahun 2018 setelah Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan telah melantik firma audit di kalangan ‘Big 4’ iaitu PricewaterhouseCoopers (PwC) untuk menilai semula kedudukan dan prestasi kewangan TH mengikut piawaian perakaunan yang sah dan benar,” katanya.

Tambahnya, penilaian semula itu mendedahkan TH berada dalam keadaan genting apabila jurang defisit antara aset dan liabilitinya melebar kepada lebih RM10 bilion pada suku keempat 2018.

“Dengan hanya tiga bulan untuk mencari penyelesaian. Sekiranya aset tidak melebihi liabiliti pada akhir tahun, TH tidak boleh mengisytiharkan agihan keuntungan bagi tahun 2018 dan berisiko menghadapi pengeluaran wang panik (bank run) secara besar-besaran.

“Pada ketika itu juga, usaha mendapatkan pembiayaan siap sedia (standby financing) sebagai persediaan jika berlaku pengeluaran panik besar-besaran (bank run) telah gagal,” katanya.

Lebih membimbangkan, katanya, sekiranya TH runtuh, kerajaan ketika itu berisiko menanggung liabiliti sekitar RM74.5 bilion kerana keseluruhan simpanan pendeposit TH dijamin kerajaan.

Katanya, pengeluaran panik bagaimanapun benar-benar berlaku pada 2019 apabila pengeluaran bersih sekitar RM6 bilion direkodkan dalam tempoh singkat selepas hibah pada kadar 1.25 peratus bagi tahun 2018 diumumkan.

“Dalam erti kata lain secara teknikalnya TH ketika itu adalah tidak solven dan perlu diselamatkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post RCI TH: Lima surat amaran BNM tidak diendahkan – Menteri appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved