
KUALA LUMPUR: Kerajaan berisiko menanggung liabiliti kira-kira RM74.5 bilion pada 2018 sekiranya berlaku pengeluaran panik secara besar-besaran atau bank run membabitkan pendeposit Tabung Haji (TH).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, risiko itu wujud susulan kedudukan kewangan TH ketika itu yang disifatkan secara teknikalnya tidak solven (berdaya maju) dan perlu diselamatkan.
Beliau berkata, pengeluaran panik benar-benar berlaku pada 2019 apabila TH merekodkan pengeluaran bersih berjumlah RM6 bilion dalam tempoh singkat susulan pengumuman hibah pada kadar 1.25 peratus yang diisytiharkan bagi tahun kewangan 2018 pada awal 2019.
“Bayangkan jika tiada hibah diisytiharkan bagi tahun 2018. Berapakah jumlah pengeluaran panik yang mungkin berlaku?” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Zulkifli berkata, keadaan kewangan TH ketika itu akhirnya memaksa kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil langkah menyelamatkan institusi berkenaan melalui pelan penstrukturan semula.
Katanya, langkah itu dibuat bagi memulihkan kedudukan kewangan TH supaya kembali solven dan kekal mampan untuk jangka panjang.-UTUSAN
The post Kerajaan berisiko tanggung liabiliti RM74.5 bilion jika berlaku ‘bank run’ TH appeared first on Utusan Malaysia.






