Bank Pembangunan Sabah diberi penarafan 'stabil' oleh RAM Ratings walaupun NPL RM5 bilion

04/06/2025 - 17:14
Oleh 'AINA SYAZWINA
KUALA LUMPUR 4 Jun — Bank Pembangunan Sabah Berhad (SDB) menunjukkan peningkatan positif apabila RAM Ratings mengekalkan penilaian stabil ke atas bank itu, setahun selepas mencatatkan RM5 bilion pinjaman tidak berbayar (NPL), iaitu 75% daripada portfolio pinjaman berjumlah RM6.6 bilion.
SDB menerima penarafan jangka panjang AA1/Stable dan penarafan jangka pendek P1, disokong kedudukan tunai yang kukuh serta sokongan berterusan kerajaan negeri Sabah.
RAM Ratings menyatakan SDB berpeluang tinggi menerima sokongan penuh daripada kerajaan negeri yang dikategorikan pada tahap tertinggi dalam penilaian syarikat berkaitan kerajaan.
Syarikat Itu berkata, transformasi masih berjalan tetapi hasil setakat ini menunjukkan institusi lebih kukuh, fokus, dan kembali mendapat keyakinan pemegang taruh sekali gus mengukuhkan peranannya sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi Sabah.
Bank itu mencatatkan pemulihan sejak separuh kedua 2023 selepas pelaksanaan pelan transformasi tiga tahun di bawah kepimpinan lembaga pengarah dan pasukan pengurusan baharu.
Jumlah hutang SDB disusutkan daripada RM5 bilion pada Julai 2023 kepada RM3 bilion, manakala nisbah modal keseluruhan meningkat daripada 7.9% pada akhir 2023 kepada 19.6% menjelang akhir 2024.
Pemulihan SDB didorong usaha tegas menyelesaikan NPL yang diwarisi melalui penubuhan pasukan pemulihan bebas pada September 2023, yang meluluskan rumusan bernilai RM965 juta antara Januari 2024 hingga April 2025.
Selaras arahan kerajaan negeri, SDB kini menumpukan pembiayaan projek pembangunan dalam sektor kritikal seperti bekalan air, tenaga dan infrastruktur.
Selain itu, sekuriti bernilai RM2 bilion diletakkan di bawah pengurusan penerima.
Antara Januari 2024 hingga April 2025, SDB meluluskan pembiayaan berjumlah RM1.71 bilion dan menolak permohonan pinjaman RM9.39 bilion yang tidak memenuhi piawaian kredit atau fokus strategik baharu.
standard


