PG Jewel buka kedai fizikal pertama di Sabah, sasar 200 cawangan seluruh negara

04/06/2025 - 18:08
Oleh 'AINA SYAZWINA
KUALA LUMPUR 4 Jun – PG Jewel Sdn Bhd, anak syarikat Aurora Italia International Bhd (AIIB), menyasarkan pembukaan 200 cawangan di seluruh negara dalam tempoh beberapa tahun, dimulakan dengan pelancaran kedai fizikal pertama seluas 1,690 kaki persegi di Bataras Hypermarket Kelombong, Sabah bagi memenuhi permintaan pelanggan di Malaysia Timur.
Diasaskan pada 2017, PG Jewel dikenali dengan ketelitian pertukangan dan reka bentuk eksklusif dalam barangan kemas emas 999 (24K) dan 916 (22K), termasuk koleksi jongkong serta syiling emas.
Pengarah PG Jewel Sdn Bhd, Jessie Ng berkata, syarikat memilih Kota Kinabalu berikutan potensi besar pasaran Malaysia Timur, didorong pertumbuhan jualan memberangsangkan di rantau ini sejak beberapa tahun lalu.
"Pembukaan kedai ini membolehkan pelanggan menikmati pengalaman menyeluruh melihat sendiri keindahan produk kami, termasuk mereka yang belum pernah melihatnya secara fizikal.

"PG Jewel mngutamakan kualiti dengan setiap produk diperiksa dan diuji bagi memastikan ketulenan dan ketelitian pertukangan menepati piawaian industri," katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Aurora Italia, Harrison Chiang berkata, pembukaan di Sabah menjadi langkah permulaan mengembangkan lagi perniagaan PG Jewel di seluruh Malaysia, termasuk Semenanjung dalam masa terdekat.
Majis perasmian itu dihadiri oleh Pengarah Urusan AIIB, Yvonne Lim, Pengarah PG Jewel Sdn Bhd, Jessie Ng, dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Aurora Italia, Harrison Chiang.
Selain barangan kemas, PG Jewel turut menawarkan jongkong emas Au 999.9 dalam pelbagai berat di bawah jenama Aurora Italia, termasuk edisi bertema 0.25g, 0.5g, dan 1g yang menampilkan ikon tempatan serta koleksi terhad Marvel, Disney, Warner Bros, DC, dan Sanrio.
Syarikat itu juga menjual barangan kemas perak di bawah jenama sama yang sesuai untuk pelabur mahupun pengumpul.
Syarikat itu turut menyediakan senarai harga emas harian secara masa nyata di laman rasmi mereka bagi memudahkan pelanggan membuat semakan.- DagangNews.com
standard

