Bank Rakyat perkenal platform pelaburan emas patuh syariah, Akaun-i eGold

Business & FinancePersonal Finance
23 Apr 2025 • 5:39 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Bank Rakyat perkenal platform pelaburan emas patuh syariah, Akaun-i eGold

image is not available

23/04/2025 - 17:39

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 23 April - Bank Rakyat memperkenalkan Akaun-i eGold iaitu platform pelaburan emas digital patuh syariah yang membolehkan pelanggan membeli atau menjual emas secara mudah dan selamat melalui saluran perbankan internet iRakyat.

Bank Rakyat berkata, akaun tersebut membolehkan pelabur memiliki emas berkualiti 999.9 yang diiktiraf oleh London Bullion Market Association, dengan harga serendah RM10.

"Akaun ini menawarkan dagangan masa nyata dan pelanggan mempunyai pilihan untuk menukar pegangan digital mereka kepada emas fizikal," kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Pelanggan mempunyai pilihan untuk menukar baki emas dengan berat 0.5 gram sehingga 100 gram emas sebelum dihantar terus kepada alamat mereka.

Bank tersebut berkata, Akaun eGold-i merupakan platform patuh syariah yang menawarkan peluang pelaburan emas yang dipercayai dan dijamin, selari dengan prinsip kewangan Islam, serta disokong oleh pelaburan emas fizikal.

Tawaran itu diperkenalkan ketika harga emas mencatat paras tertinggi baharu susulan peningkatan permintaan terhadap aset selamat di tengah-tengah ketidaktentuan pasaran global.

Harga emas melonjak melebihi AS$3,500 seauns (RM16,800) semalaman.

"Produk ini adalah sebahagian daripada usaha bank untuk menyediakan perkhidmatan yang inklusif kepada semua lapisan masyarakat dalam urus niaga emas iaitu pembelian, penjualan, dan penukaran pelaburan emas digital kepada emas fizikal demi mencapai matlamat kewangan dengan mudah," katanya.

Kemudahan itu terbuka kepada individu berusia 13 tahun ke atas yang memiliki Akaun Semasa-i, Akaun Simpanan-i atau Akaun Pelaburan-i Bank Rakyat serta mempunyai akses kepada perbankan internet iRakyat.- DagangNews.com

standard