Paradigm REIT meterai perjanjian taja jamin dengan 3 bank pelaburan menjelang IPO di Pasaran Utama

LocalBusiness & Finance
21 Apr 2025 • 3:42 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Paradigm REIT meterai perjanjian taja jamin dengan 3 bank pelaburan menjelang IPO di Pasaran Utama

image is not available

21/04/2025 - 15:42

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 21 April – Paradigm Real Estate Investment Trust (Paradigm REIT), sebuah amanah pelaburan hartanah tempatan memeterai perjanjian taja jamin dengan tiga bank pelaburan menjelang penyenaraiannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia.

Perjanjian itu dimeterai dengan Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB), CGS International Securities Malaysia Sdn Bhd (CGSI) dan AmInvestment Bank Bhd (AmInvestment).

Paradigm REIT, yang bakal disenaraikan dengan saiz dana permulaan 1.6 juta unit akan menawarkan 560,000 ribu unit tawaran kepada pelabur institusi dan runcit.

"Tawaran tersebut merangkumi 254.65 juta unit bagi runcit dan sekurang-kurangnya 305.34 juta unit bagi tawaran institusi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Penyenaraian Paradigm REIT bakal diperkukuh dengan suntikan tiga aset ikonik dalam sektor hartanah runcit negara iaitu Bukit Tinggi Shopping Centre (BTSC), Paradigm Mall Petaling Jaya (PMPJ), dan Paradigm Mall Johor Bahru (PMJB).

Kesemua aset tersebut akan dilupuskan oleh vendor terlibat pada nilai RM2.44 bilion, yang akan diselesaikan menerusi terbitan 1.6 bilion unit pada harga RM1.00 seunit serta bayaran tunai sebanyak RM837 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif Paradigm REIT Management Sdn Bhd, Selena Chua Kah Noi menyifatkan perjanjian tersebut sebagai pencapaian penting ke arah membentuk REIT berdaya tahan dan menarik pelabur.

"Paradigm REIT bersedia untuk muncul sebagai salah satu REIT terkemuka di negara ini, disokong oleh portfolio aset berkualiti tinggi dan saluran pertumbuhan yang mantap.

"Kami komited untuk menawarkan pulangan mampan dan pertumbuhan jangka panjang kepada pemegang unit, selaras dengan mandat kami untuk mencipta nilai lestari kepada semua pihak berkepentingan," katanya.

Penyenaraian Paradigm REIT di Bursa Malaysia dijangka dimuktamadkan selepas kelulusan peraturan diperoleh dan proses tawaran diselesaikan.

Maybank IB akan bertindak sebagai penyelaras utama buku dan pengurus jamin tunggal, manakala CGSI dan AmInvestment berperanan sebagai penjamin bersama dan penyelaras tawaran institusi.- DagangNews.com

standard