Bank Rakyat umum dividen 18 peratus, tertinggi dalam 10 tahun

Business & Finance
16 Apr 2026 • 11:58 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Bank Rakyat umum dividen 18 peratus, tertinggi dalam 10 tahun
Steven Sim (tiga,kiri) bersama pengurusan tertinggi Bank Rakyat sempena Sidang Media Pengumuman Prestasi Kewangan dan Dividen Kumpulan Bank Rakyat bagi Tahun Kewangan Berakhir 31 Disember 2025, di Menara Bank Rakyat pada Khamis

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Bank Rakyat mengumumkan pembayaran dividen 18 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, berbanding 17 peratus yang diagihkan tahun sebelumnya, tertinggi sejak tempoh 10 tahun lepas. 

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Steven Sim Chee Keong berkata, bayaran pengagihan tersebut membabitkan jumlah pembayaran sebanyak RM534.7 juta.

Menurutnya, pembayaran dividen kepada anggota dilakukan mulai 16 April 2026.

"Prestasi memberangsangkan tersebut membolehkan Bank Rakyat mengoptimumkan modal dan mengekalkan pembayaran dividen yang tinggi sebagai penghargaaan kepada semua anggota dan pihak berkepentingan.

"Jumlah dividen 18 peratus ini juga tertinggi sejak 10 tahun yang lalu dan akan memanfaatkan sejumlah 783,324 anggota," katanya pada sidang media Pengumuman Prestasi Kewangan dan Dividen Kumpulan Bank Rakyat Bagi Tahun Kewangan Berakhir 31 Disember 2025 di Menara Kembar Bank Rakyat di sini, pada Khamis.

Hadir sama, Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd Shariff.

Steven menambah, Kumpulan Bank Rakyat meneruskan sokongan terhadap mandat tahunan untuk ekosistem koperasi dengan menyumbang sebanyak 2 peratus daripada keuntungan sebelum cukai dan zakat berjumlah RM38.0 juta kepada Kumpulan Wang Amanah Pendidikan Koperasi dan 1 peratus bersamaan RM19.0 juta kepada Kumpulan

Wang Amanah Pembangunan Koperasi. 

"Jumlah sumbangan bagi tahun 2025 adalah sebanyak RM57.0 juta berbanding RM54.7 juta pada tahun sebelumnya," katanya. 

Sementara itu Mohd Irwan menjelaskan, 

Bank Rakyat merekodkan keuntungan sebelum cukai dan zakat sebanyak RM1.9 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, peningkatan tahun-ke-tahun sebanyak 4.2 perafus atau RM75.8 juta, berbanding RM1.8 bilion pada tahun sebelumnya.

Katanya, keuntungan sebelum cukai dan zakat yang lebih tinggi ini dicapai melalui asas kukuh Kumpulan serta tumpuan terhadap aktiviti teras, disokong oleh keadaan ekonomi domestik yang bertambah baik, sementara Kumpulan kekal berwaspada dalam menghadapi prospek ekonomi global yang tidak menentu dan persekitaran perbankan yang mencabar.

"Prestasi memberangsangkan ini dipacu oleh pertumbuhan kukuh jumlah aset, meningkat sebanyak 6.6 peratus kepada RM131.0 bilion.

"Ia didorong oleh tawaran menarik dalam segmen pembiayaan runcit, penekanan lebih kukuh kepada pendapatan bukan berasaskan dana, pendigitalan yang dipercepat untuk menembusi pasaran golongan berpendapatan sederhana tinggi serta peningkatan kualiti aset secara keseluruhan," katanya. 

Pada masa sama, ujar beliau, pendapatan utama Kumpulan meningkat sebanyak 2.0 peratus kepada RM6.8 bilion didorong oleh pertumbuhan kukuh baki pembiayaan kasar sebanyak 8.6 peratus kepada RM93.3 bilion, melebihi purata industri. 

Dengan kejayaan pelaksanaan BR25, Kumpulan telah merealisasikan sepenuhnya manfaat daripada kepelbagaian portfolionya, khususnya dalam segmen perbankan perniagaan serta segmen pembiayaan bercagar seperti Pembiayaan Perumahan-i, Pembiayaan Kenderaan-i dan

Pajak Gadai-i.

"Tambahan lagi, strategi deposit Kumpulan dan usaha yang bersasarkan deposit kos rendah telah menyumbang kepada peningkatan Akaun Semasa-i, Akaun Simpanan-i dan Akaun Pelaburan-i (CASAIA) sebanyak 15.2 peratus kepada RM12.4 bilion, mengukuhkan Nisbah CASAIA sebanyak 129 mata asas kepada 14.4 peratus. 

"Prestasi Kumpulan yang mampan ini turut disokong oleh peningkatan pendapatan operasi lain sebanyak 30.8 peratus atau RM221.0 juta kepada RM938.4 juta mencerminkan usaha berterusan Kumpulan dalam mempelbagaikan sumber pendapatan," katanya. 

Selain itu, menurut Bank Rakyat, Kumpulan turut mengamalkan budaya pengurusan risiko yang berhemat dan proses penilaian kredit yang ketat yang membawa kepada penurunan nisbah pembiayaan terjejas kasar daripada 1.9 peratus kepada 1.8 peratus.

Kumpulan juga mempamerkan disiplin dan kecekapan dalam pengurusan kos, yang boleh dilihat dalam nisbah kos kepada pendapatan yang kekal sihat sebanyak 47.8 peratus. 

Kedudukan modal Kumpulan kekal mampan dengan Nisbah Modal Berwajaran Risiko dan Nisbah Modal Teras masing-masing kekal kukuh pada 25.6 peratus dan 24.2 peratus melebihi keperluan minimum kawal selia.

View Original Article