
KUALA LUMPUR - Dua bekas pekerja sebuah klinik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang wanita, ketika mangsa menjalani menjalani prosedur menggugurkan kandungan.
Tertuduh, Philomena Mathias, 83, dan Rusbur Kaur Partab Singh, 73, didakwa bersama-sama menyebabkan kematian wanita berusia 45 tahun itu melalui perbuatan yang dilakukan dengan niat untuk menggugurkan kandungan.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di sebuah klinik di Jalan Changkat Bukit Bintang kira-kira jam 5.30 petang 22 Oktober 2024.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 314 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun serta denda jika sabit kesalahan.
Kedua-dua tertuduh tidak mengaku salah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Illi Marisqa Khalizan.
Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 Jun ini untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syafika Azwa Fikri, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam George Loh.
Kes akan diteruskan ke peringkat pengurusan pra-perbicaraan sementara siasatan dan proses mahkamah berlangsung. — Getaran, 12 Mei 2026






