Bantu Suami Cari Rezeki, Wanita Hantar Makanan Sambil Bonceng 3 Anak Kecil

15 Oct 2025 • 11:33 AM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Seorang ibu muda di Melaka menjadi perhatian ramai apabila gambar dirinya menghantar makanan sambil membonceng tiga anak kecil termasuk seorang bayi, tular di media sosial sejak semalam.

Wanita hantar makanan sambil bonceng 3 anak Kecil

Menurut laporan Kosmo! Online, Noryani Syakira Yaakob, 23, berkata dia tidak menyangka rakaman tersebut akan menarik perhatian orang ramai kerana niatnya hanyalah untuk mencari rezeki demi membantu suami menampung perbelanjaan keluarga.

image is not available

Foto: Media sosial

Noryani berkata, suaminya bekerja di sebuah bengkel dengan pendapatan sekitar RM1,200 sebulan manakala dia pula cuba menambah pendapatan dengan menjadi penghantar makanan sejak dua bulan lalu.

“Saya bawa anak-anak sebab tak ada siapa yang boleh jaga di rumah. Setiap hari dapatlah dalam RM20 ke RM30 lepas tolak minyak, itu pun saya dah bersyukur,” katanya.

Noryani mempunyai anak-anak berusia lima tahun, dua tahun dan seorang bayi berumur 10 bulan.

Menurutnya sebelum ini, dia pernah bekerja sebagai pembantu jualan ayam gunting, namun terpaksa berhenti kerana tiada penjaga untuk anak-anaknya.

image is not available

Foto: Media sosial

Katanya yang menetap di Bukit Lintang, insiden dirakam itu dipercayai berlaku dua minggu lalu ketika dia menghantar pesanan nasi goreng dari Bukit Katil ke Hospital Melaka dengan bayaran upah RM5.

“Setiap pagi lepas hantar anak sulung ke tadika, saya terus buat penghantaran sampai tengah hari. Saya guna motosikal suami dan bawa dua lagi anak bersama. Pendapatan tak banyak, tapi cukup untuk beli susu, lampin dan bayar sewa rumah RM350,” ujarnya.

Bagaimanapun, dia hanya keluar bekerja ketika cuaca baik kerana risau keselamatan anak-anak di jalan raya.

Susulan gambar tular itu, ada yang mengkritik tindakannya kerana dianggap berisiko, namun ramai juga yang bersimpati dan ingin menghulurkan bantuan kepada keluarga tersebut.

Sumber: Kosmo! Online (Diyanatul Atiqah Zakarya)