
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Kerajaan bersetuju menaikkan bantuan tunai BUDI Agri-Komoditi dan BUDI Diesel Individu daripada RM300 kepada RM400 sebulan bagi April 2026, dan akan disalurkan pada Selasa, 21 April 2026.
Kementerian Kewangan (MoF) menerusi satu kenyataan hari ini (14 April) berkata, ini adalah kali kedua bantuan tersebut dinaikkan susulan konflik di Asia Barat yang menyebabkan krisis tenaga global berlarutan.
Jelas MoF, BUDI Agri-Komoditi dijangka memanfaatkan lebih 200,000 petani dan pekebun kecil, dengan dana tambahan sekitar RM20 juta sebulan.
Manakala BUDI Diesel Individu dijangka memanfaatkan sekitar 150,000 pemilik kenderaan diesel individu di Semenanjung Malaysia, dengan dana tambahan sekitar RM15 juta sebulan.
Perkara sama turut diumumkan Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, ketika menyampaikan Taklimat Krisis Tenaga Global.
Menurut Akmal Nasrullah peningkatan kadar bantuan tunai BUDI Diesel, BUDI Agri-Komoditi serta beberapa lagi insentif pertanian bagi musim penanaman 2026 ini adalah sebagai usaha mengurangkan kesan krisis tenaga global terhadap kos sara hidup rakyat.
Tambahnya langkah proaktif perlu diambil lebih awal bagi melindungi kelangsungan hidup kumpulan sasar.
Kadar insentif IPKP turut dinaikkan
Kadar IPKP bagi musim penanaman 2026 turut dinaikkan kepada RM300 sehektar semusim berbanding RM160 pada 2025. Kenaikan ini membabitkan tambahan dana sekitar RM40 juta yang dijangka memanfaatkan hampir 200,000 pesawah.
“Bagi melindungi dan menjamin kelangsungan hidup rakyat yang membanting tulang sebagai pesawah, kerajaan bersetuju menaikkan kadar Insentif Pembajakan Kepada Pesawah (IPKP).”
Dalam pada itu, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa Kerajaan memahami kesan langsung kenaikan kos ini kepada rakyat dan telah mengambil langkah segera untuk menambah baik bantuan secara bersasar, khususnya kepada pesawah, petani, pekebun kecil serta pemilik kenderaan diesel individu yang layak.
“Keutamaan Kerajaan MADANI adalah jelas, memastikan keterjaminan bekalan barangan asas untuk rakyat, ekoran kenaikan harga minyak mendadak dan gangguan rantaian bekalan dunia.
“Langkah yang diumumkan hari ini melibatkan perbelanjaan tambahan, antaranya untuk membantu pengeluar makanan, demi kelangsungan bekalan makanan untuk rakyat,” tambah beliau.
Sebagai info, pelarasan harga bahan api yang diumumkan MoF pada 8 April menyaksikan harga diesel di Semenanjung naik 70 sen menjadi RM6.72 seliter berbanding RM6.02 seliter pada minggu sebelumnya.
Kenaikan sekaligus mencatat rekod tertinggi baharu bagi harga diesel di Malaysia.
View this post on Instagram



