Bantuan IPKP dibayar ikut kerja sebenar, bukan lewat – Mohamad

LocalPolitics
15 Apr 2026 • 7:55 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Bantuan IPKP dibayar ikut kerja sebenar, bukan lewat – Mohamad
Mohamad

SHAH ALAM - Bantuan Insentif Pembajakan Kepada Pesawah (IPKP) hanya boleh dituntut selepas keseluruhan proses pengesahan dimuktamadkan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu berkata, pelaksanaan kaedah itu bertujuan memastikan bayaran dibuat berdasarkan hasil kerja sebenar yang dilakukan oleh pesawah.

“Kaedah bayaran IPKP ialah buat dulu, baru tuntut. Ia tidak sama seperti bantuan tunai BUDI Agri-Komoditi yang terus dikreditkan ke akaun penerima.

“Dalam setiap musim, ada pesawah menanam dan ada yang tidak. Ada yang musim ini mengusahakan 10 hektar, musim berikutnya hanya lapan hektar.

“Sebab itu tuntutan dibuat berdasarkan kerja sebenar yang dilaksanakan supaya wang rakyat diurus secara telus dan tepat,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Rabu.

Ujar Mohamad, orang ramai perlu memahami bahawa musim penanaman padi di setiap negeri tidak seragam, menyebabkan tuntutan bayaran tidak dapat dilaksanakan secara serentak.

“Contohnya, ketika Kedah mula memasuki musim baharu penanaman, ada negeri lain seperti Kelantan yang masih berada di fasa menuai.

“Selepas tuntutan dikemukakan oleh penyedia perkhidmatan atau pesawah, pegawai akan turun ke lapangan untuk membuat pengesahan.

“Jika dokumen lengkap dan tuntutan disahkan, bayaran akan diproses,” ujarnya.

Menurutnya, selain IPKP, kerajaan turut memperkenalkan Insentif Penuaian Padi (IPP) pada tahun lalu, yang menggunakan kaedah tuntutan sama.

“Dengan penjelasan ini, Bang Mat harap rakyat dapat membezakan antara proses pengurusan bayaran dengan dakwaan palsu kononnya kerajaan tidak membayar langsung.

“Hakikatnya, bantuan telah dibayar, sedang dibayar dan baki tuntutan akan terus diselesaikan selepas semua proses pengesahan dimuktamadkan,” kata beliau.

Kata Mohamad, kerajaan akan terus menambah baik sebarang kelemahan melibatkan proses tuntutan bantuan kepada para pesawah.

“Kepada pihak yang suka mencari populariti dengan menunggang keresahan pesawah, Bang Mat yakin majoriti rakyat hari ni sudah bijak menilai, siapa yang buat kerja, dan siapa yang hanya main politik,” ujarnya.