Krisis tenaga: Kerajaan tambah baik bantuan diesel

LocalPolitics
14 Apr 2026 • 5:34 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Krisis tenaga: Kerajaan tambah baik bantuan diesel
Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA - Kerajaan bersetuju memperkukuhkan sokongan kepada pesawah dengan Insentif Pembajakan kepada Pesawah (IPKP) bagi musim penanaman 2026 dinaikkan daripada RM160 kepada RM300 sehektar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah tersebut merupakan tindakan segera untuk menambah baik bantuan kepada pengguna diesel bagi meringankan beban rakyat serta memastikan aktiviti ekonomi terus berjalan lancar di saat krisis tenaga berlarutan susulan konflik geopolitik Asia Barat.

Menurutnya, kenaikan insentif itu melibatkan tambahan dana sekitar RM40 juta dan dijangka memanfaatkan hampir 200,000 pesawah padi yang sebahagiannya bakal memulakan penanaman padi pada bulan ini.

"Sebagai bantuan tambahan, tahun lalu juga, kerajaan memperkenalkan Insentif Penuaian sebanyak RM50 untuk sehektar semusim bagi meringankan beban kenaikan kos input," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Ujar beliau, kerajaan turut bersetuju menaikkan kadar bantuan tunai diesel BUDI Agri-Komoditi dan BUDI Diesel Individu daripada RM300 kepada RM400 sebulan bagi April dan akan disalurkan pada 21 April.

"Ini adalah kali kedua bantuan tersebut telah dinaikkan susulan krisis ini. BUDI Agri-Komoditi dijangka memanfaatkan lebih 200,000 petani dan pekebun kecil, dengan dana tambahan sekitar RM20 juta sebulan manakala BUDI Diesel Individu dijangka memanfaatkan sekitar 150,000 pemilik kenderaan diesel individu di Semenanjung Malaysia dengan dana tambahan sekitar RM15 juta sebulan," jelas Anwar.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, Kementerian Kewangan (MoF) dijangka menanggung subsidi sekitar RM7 bilion untuk April termasuk dana tambahan RM75 juta, untuk ketiga-tiga ikhtiar bantuan diesel.

Selain itu, katanya, kerajaan juga bersetuju untuk memudahcara pembelian diesel bagi kegunaan selain kenderaan.

"Syarat keperluan permit khas bagi pembelian melebihi 20 liter akan dilonggarkan. Pemilik mesin atau jentera pertanian dibenarkan membeli diesel melebihi had tersebut dengan mengemukakan pendaftaran jentera.

"Kerajaan akan memperincikan garis panduan pelaksanaan dalam tempoh terdekat," ujarnya.

Krisis tenaga global yang berlarutan, susulan konflik di Asia Barat telah memberi tekanan kepada kos bahan api dan rantaian bekalan di seluruh dunia.

Penambahbaikan yang dilaksana kerajaan mengambil kira tekanan berterusan dalam pasaran tenaga global, khususnya gangguan bekalan petroleum di peringkat antarabangsa yang menyebabkan harga diesel bertapis meningkat ketara sehingga AS$250 setong iaitu hampir tiga kali ganda berbanding sebelum konflik Asia Barat.

Anwar menegaskan kerajaan memahami kesan langsung kenaikan kos ini kepada rakyat dan telah mengambil langkah segera untuk menambah baik bantuan secara bersasar, khususnya kepada pesawah, petani, pekebun kecil serta pemilik kenderaan diesel individu yang layak.

“Keutamaan kerajaan adalah jelas iaitu memastikan keterjaminan bekalan barangan asas untuk rakyat, ekoran kenaikan harga minyak mendadak dan gangguan rantaian bekalan dunia.

"Langkah yang diumumkan hari ini melibatkan perbelanjaan tambahan antaranya untuk membantu pengeluar makanan, demi kelangsungan bekalan makanan untuk rakyat,” tambah beliau.

BUDI Madani Diesel diperkenalkan dalam Belanjawan 2024 untuk mengurangkan penyeludupan serta ketirisan subsidi diesel. Subsidi diesel terus diberikan kepada kenderaan pengangkutan barangan darat bagi mengekalkan harga barang yang stabil, manakala individu yang layak menerima bantuan secara tunai.

Bantuan subsidi tunai menerusi BUDI Agri-Komoditi pula disediakan kepada golongan petani, penternak dan pekebun kecil yang berdaftar dengan kementerian terlibat untuk dimanfaatkan susulan kenaikan kos diesel jentera pertanian yang digunakan.