
AYER KEROH - Kira-kira 12,000 pemandu teksi dan kereta sewa di seluruh negara dijangka menerima bantuan kewangan khas sebanyak RM1,000 setiap seorang, dengan pembayaran mula disalurkan hari ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata bantuan itu bukan hanya untuk pemandu di Melaka, sebaliknya turut melibatkan penerima yang layak di negeri-negeri lain.
Beliau menjelaskan perkara itu susulan dakwaan bahawa bantuan berkenaan hanya diberikan di Melaka berikutan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung.
Menurutnya, agihan bantuan dilaksanakan secara berperingkat bagi membantu meringankan beban kewangan golongan pemandu yang memenuhi syarat ditetapkan.
“Bantuan ini bukan untuk pemandu teksi di Melaka sahaja, tetapi melibatkan pemandu di seluruh negara. Saya ingin menjelaskan perkara ini susulan kenyataan yang mempersoalkan pemberian bantuan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan majlis penyerahan Bantuan Kewangan Khas kepada pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah di Auditorium Kompleks CMI, di sini, hari ini.
Pada majlis berkenaan, seramai 283 pemandu teksi dan kereta sewa menerima baucar bantuan bernilai RM1,000 setiap seorang.
Loke berkata, kelayakan menerima bantuan itu tertakluk kepada beberapa syarat, antaranya menjadi ahli persatuan pemandu yang sah serta memiliki kad pemandu disahkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
Bagi penerima yang tidak dapat hadir pada majlis penyerahan, bayaran akan dibuat terus ke akaun bank masing-masing.
Beliau berkata proses pembayaran kepada kira-kira 12,000 penerima dijangka selesai dalam tempoh satu hingga dua minggu, manakala wang bantuan dijangka dikreditkan ke akaun penerima dalam masa dua hingga tiga hari bermula hari ini. - Getaran, 26 Oktober 2026






