Bantuan terbaik buat anak sulung mangsa tragedi di Sungai Kolok - Fadhlina

LocalFamily & Parenting
8 Jul 2025 • 12:25 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Putri Qisya dan keluarganya ketika ditemui di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar petang Isnin. Foto Facebook Fadhlina Sidek

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan (KPM) akan memberikan bantuan terbaik kepada anak sulung pasangan yang ditemukan maut bersama empat lagi anak mereka di dalam kereta yang tenggelam dalam Sungai Korok di Jitra pagi Isnin.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menerusi hantaran di Facebook pada Isnin turut merakamkan ucapan takziah dan menyifatkan tragedi itu sebagai berita yang sangat menyayat hati.

Beliau berkata, Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Abdul Rahim Mat yang menjalankan tugas Pengarah Pendidikan Negeri  telah menziarahi kanak-kanak itu, Putri Qisya Nur Izzat Mohamad Azim Izat, 12, dan keluarganya di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar petang Isnin.

"Saya pastikan anakanda Putri Qisya diberi bantuan terbaik. Jabatan Pendidikan Negeri Kedah akan membantu menguruskan semua keperluan anakanda,” katanya.

Fadhlina berkata, beliau mendoakan agar Putri Qisya Nur Izzat dan keluarganya diberikan ketabahan serta kesabaran dalam menempuh ujian itu.

Mayat enam beranak, Mohamad Azim Izat Ishak, 32, Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, Putra Rayyan Nur Izzat, 9, Hawa Adriana Nur Izzat, 8, Annayla Humaira Nur Izzat, 7, dan Tuah Haydar, enam bulan yang dalam perjalanan pulang ke Jerlun dari rumah ahli keluarga di Taman Seri Aman di Jitra Sabtu lepas, ditemukan di dalam kereta mereka di Sungai Korok di Jitra pada pagi Isnin.

Adik kepada Muhammad Azim Izat, Muhammad Adlan Solehin, 24, memaklumkan anak sulung pasangan berkenaan, Puteri Qisya Nur Izzat  tidak mengikuti keluarga ke rumah saudara pada hari kejadian. - Bernama