“Kes paling sayu & tragis” – Ahli Bomba Kongsi Detik Pilu Ketika Angkat Jasad Korban 6 Beranak Di Sungai Korok

Entertainment
8 Jul 2025 • 11:24 AM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Semalam, kita dikejutkan dengan berita menyayat hati melibatkan sebuah keluarga enam beranak ditemukan maut dalam kereta Proton Saga Iswara yang tenggelam dalam Sungai Korok di Jitra, Kedah.

Menerusi kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, semua mangsa ditemukan di bahagian belakang kiri kenderaan, dipercayai cuba menyelamatkan diri.

Kenderaan jenis Proton Iswara itu terpaksa dipecahkan cerminnya dan bumbung dipotong bagi membolehkan mangsa dikeluarkan.

Identiti mereka disahkan sebagai Mohamad Azim Izat Ishak, 32; isterinya, Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi 31; dan empat anak mereka, Putra Rayyan Nur Izza, 9; Hawa Adriana Nur Izzat, 8; Annayla Humaira Nur Izzat, 7 dan Tuah Haydar, enam bulan.

image is not available

Kes paling sayu & tragis

Seorang anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Mohammad Hasri Haslan, 31, mengatakan insiden ini merupakan kes paling sayu dan tragis pernah dia hadapi sepanjang bertugas dalam JBPM Kedah.

“Paling sedih dan tersentuh hati ketika saya dan rakan seperjuangan mengangkat jasad bayi enam bulan dan tiga kanak-kanak.”

Bercerita lanjut, ketika operasi itu, Mohamad Hasri duduk di atas Proton Iswara yang sedang diangkat naik ke tebing. Dia berasa sebak apabila melihat satu demi satu jasad mangsa dibawa keluar dari kereta berkenaan.

Katanya, jasad pertama dikeluarkan adalah kanak-kanak perempuan, disusuli bayi lelaki berusia enam bulan dan diikuti kanak-kanak lelaki.

“Jasad keempat ialah kanak-kanak perempuan, disusuli ibu mereka manakala jasad bapa kanak-kanak berkenaan yang terakhir dikeluarkan.

“Saya pun ada anak, bila tengok keadaan itu memang saya sedih, lebih-lebih lagi bayi itu , memang sedih,” katanya.

Mohamad Hasri mengakui, kesedihan dialami dalam operasi itu sukar digambarkan sepanjang pengalamannya sebagai anggota PPDA mengeluarkan mayat dalam air.

“Sungai Korok ini dalam, kira-kira enam meter,” katanya.

Difahamkan, semua jenazah telah dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bohor, Karang di Jerlun kira-kira jam 11.50 malam tadi.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.