Bantuan tunai RM1,300 untuk mangsa kebakaran Likas

LocalPolitics
4 Mar 2025 • 11:12 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Sabah Publishing House Sdn Bhd

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri bersama jabatan kerajaan dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan mengadakan perbincangan lanjut bagi membantu mangsa kebakaran di Kampung Cempaka, Likas, pada 1 Mac lalu.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, sebagai kerajaan yang prihatin dan peduli rakyat, nasib mangsa-mangsa kebakaran ini akan diberi perhatian, terutama pada bulan puasa ini.

“Kita amat prihatin, dan sebagai kerajaan peduli rakyat, kita telah memberi bantuan kewangan sebanyak RM1,300 kepada ketua isi rumah (KIR) mangsa kebakaran, iaitu RM1,000 daripada kerajaan negeri manakala RM300 lagi daripada Kumpulan Yayasan Sabah.

“Kita berusaha memikirkan nasib mangsa-mangsa kebakaran ini dan kita faham terutama pada bulan puasa ini, mengenai ketidakselesaan dan kesusahan mereka.

Sebab itu, kerajaan bersama pihak yang berkaitan akan berusaha mencari jalan yang terbaik untuk membantu mereka seterusnya.

“Selain bantuan kewangan, kerajaan turut memberi pelbagai bantuan lain seperti bantuan gas dan dapur dari Yayasan Kebajikan Sabah dan bakul makanan dari Kumpulan Yayasan Sabah,” katanya selepas melawat mangsa-mangsa kebakaran Kg Cempaka, di Dewan Serbaguna Likas, Isnin.

Dalam kejadian awal pagi Sabtu lalu, seramai 511 mangsa daripada 91 keluarga kehilangan tempat tinggal.

Dua pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka untuk menempatkan mangsa kebakaran iaitu PPS Likas yang menempatkan seramai 34 KIR membabitkan 200 penduduk, manakala PPS Damai seramai 57 KIR dan 311 penduduk.

Pelbagai pihak turut membantu memberi bantuan makanan, antaranya Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM).

Mangsa kebakaran juga menerima bantuan awal sebaik sahaja berdaftar di PPS iaitu bakul makanan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, pek makanan sedia-dimakan serta makan minum daripada Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am.