Pempengaruh Islamik, Aisyah Hijanah tampil memohon maaf secara terbuka susulan kesilapan penulisan ayat al-Quran yang terdapat dalam buku terbitannya, ‘Wanita Syurga’ sehingga mencetuskan kegusaran dalam kalangan pembaca dan masyarakat.
Menerusi kenyataan rasmi yang dimuat naik di media sosial, Aisyah mengakui kesilapan itu adalah tanggungjawabnya sebagai penerbit dan individu yang membawa nama pada buku berkenaan.
“Saya mengakui bahawa kesilapan ini adalah tanggungjawab saya sebagai penerbit dan individu yang membawa nama pada buku ini.
“Walaupun buku ini merupakan hasil penulisan bersama seorang penulis (ghostwriter), saya sepatutnya memastikan setiap kandungan, khususnya yang melibatkan ayat-ayat al-Quran, disemak dengan lebih teliti sebelum diterbitkan.
“Saya menerima sepenuhnya teguran ini dan tidak akan meletakkan kesalahan kepada mana-mana pihak,” katanya hari ini.

Foto: IG Aisyah Hijanah
Aisyah berkata, sebagai figura yang sering berkongsi ilmu agama, dirinya sedar perlu lebih berhati-hati kerana setiap perkongsian menjadi rujukan kepada ramai wanita.
Menurutnya, niat menghasilkan buku tersebut adalah untuk berkongsi ilmu serta membantu wanita mendekatkan diri kepada Allah, namun mengakui niat yang baik tidak boleh dijadikan alasan terhadap kecuaian.
“Saya sedar saya sepatutnya lebih berhati-hati dalam setiap perkongsian kerana ia menjadi rujukan dan manfaat kepada ramai wanita di luar sana.
“Niat saya sejak awal hanyalah untuk berkongsi ilmu serta membantu wanita memahami jalan-jalan yang boleh mendekatkan diri kepada Allah dan meraih syurga Allah.
“Namun, niat yang baik tidak pernah menghalalkan kecuaian. Kesilapan saya adalah tidak melakukan semakan yang lebih mendalam sebelum buku ini diterbitkan,” ujarnya.
Sehubungan itu, dia memaklumkan beberapa tindakan segera telah diambil bagi menangani isu berkenaan, ermasuk menghentikan sementara penjualan semua buku di bawah penerbitannya dan menarik semula naskah tersebut daripada semua platform jualan.

Selain itu, Aisyah berkata, semakan menyeluruh terhadap kandungan buku sedang dilaksanakan, selain menyediakan versi digital yang telah diperbetulkan kepada pembaca yang menginginkan naskhah yang dikemas kini.
“Saya telah mengambil beberapa tindakan segera iaitu menghentikan sementara penjualan semua buku di bawah penerbitan saya, menarik semula buku ini daripada semua kedai buku serta platform jualan dalam talian dan luar talian.
“Kami juga sedang melaksanakan semakan semula secara menyeluruh terhadap kandungan buku dan menyediakan versi yang telah diperbetulkan dalam bentuk digital kepada pembaca yang menginginkan naskhah yang telah dikemas kini,” jelasnya.
Aisyah turut menyifatkan insiden itu sebagai teguran daripada Allah agar beliau menjadi insan yang lebih teliti dan bertanggungjawab dalam menyampaikan ilmu agama.
Dia berjanji akan memperketatkan proses semakan pada masa depan serta menjadikan insiden itu sebagai pengajaran besar dalam amanah menyampaikan mesej agama.
“Saya juga menganggap perkara ini sebagai satu teguran daripada Allah agar saya menjadi insan yang lebih teliti dan lebih bertanggungjawab dalam membawa mesej agama.
“In Shaa Allah, saya akan terus memperbaiki diri, memperketatkan proses semakan pada masa akan datang dan tidak akan berhenti berusaha untuk memberi manfaat kepada masyarakat dengan cara yang lebih bertanggungjawab.
“Sekali lagi, saya memohon maaf atas segala kekhilafan yang telah berlaku,” kata Aisyah lagi.
Terdahulu, tular di media sosial perkongsian segelintir warganet yang mendakwa menemukan beberapa kesilapan membabitkan petikan ayat al-Quran dalam buku ‘Wanita Syurga’, hasil penulisan Aisyah.

Foto: Threads @fatindrawin
Perkongsian itu turut menggesa orang ramai supaya lebih berhati-hati dalam memilih bahan bacaan agama dan mendapatkan rujukan daripada penulis yang mempunyai kelayakan serta kepakaran dalam bidang berkenaan.
“Seramlah erk aku tengok buku Aisyah Hijanah yang baharu tu. Banyak sangat ayat-ayat al-Quran yang tak wujud dalam tu. Allahuakbar. Moga Allah beri hidayah kepada mereka suami isteri.
“Korang kalau nak beli buku-buku agama ni, carilah ustaz-ustaz yang betul yang ada tulis buku. Ni setakat nak cari duit ke apa, tak tahulah. Wallahua’lam,” dakwa seorang pengguna Threads, @aseelnour_12.

Foto: Threads @aseelnour_12
Sumber: Threads (search)
The post Banyak Ayat Al-Quran Tak Wujud? Aisyah Hijanah Tarik Semula Buku Ditulis – “Saya Akui Silap” appeared first on Borak Daily.






