
JOHOR BAHRU – Penantian hampir tujuh tahun 171 mangsa pencemaran Sungai Kim Kim akhirnya berakhir apabila Mahkamah Tinggi Sivil di sini memutuskan penghakiman memihak kepada mereka dalam tuntutan terhadap pihak yang dipertanggungjawabkan menyebabkan bencana pencemaran toksik itu.
Keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Manira Mohd Noor itu memberi kelegaan kepada pelajar sekolah, nelayan dan orang awam yang menjadi plaintif selepas melalui proses perbicaraan panjang sejak kes berkenaan difailkan pada Julai 2019.
Peguam Datuk Kamarudin Ahmad yang mewakili kesemua plaintif berkata, penghakiman berkenaan penting kerana mahkamah membenarkan tuntutan terhadap pihak kilang, dua pengarah serta pemandu lori yang terlibat dalam pembuangan sisa toksik ke Sungai Kim Kim.
Menurutnya, keputusan itu juga menjadi peringatan kepada pihak industri supaya tidak mengambil mudah pengurusan sisa toksik, selain mengekang penggunaan kontraktor dan pengendali lori yang tidak bertauliah.
“Penghakiman ini sangat penting kepada isu alam sekitar kerana ia memastikan kilang-kilang selepas ini tidak lagi dengan sewenang-wenangnya membuang sisa toksik ke dalam sungai.
“Ia juga mengekang kontraktor dan pemandu lori yang tidak bertauliah daripada menguruskan sisa toksik berbahaya di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling,” katanya selepas prosiding keputusan kes berkenaan di Mahkamah Tinggi Sivil di sini.
Bagaimanapun, Kamarudin berkata, keputusan terbaru itu hanya melibatkan fasa pertama iaitu menentukan liabiliti atau pihak yang bertanggungjawab terhadap tragedi berkenaan, manakala jumlah ganti rugi akan ditentukan dalam pendengaran berasingan.
Katanya, seramai 42 plaintif terdiri daripada pelajar dan orang awam menuntut ganti rugi berjumlah RM30 juta, manakala 129 kumpulan nelayan menuntut hampir RM3 juta atas kerugian ekonomi yang dialami akibat pencemaran tersebut.
“Bukan semua plaintif mengalami kecederaan dan kerugian yang sama. Bagi nelayan pula, terdapat perbezaan saiz bot seperti bot dan sampan, menyebabkan taksiran ganti rugi perlu dibuat secara berasingan.
“Mahkamah akan menetapkan pengurusan kes bagi menentukan tarikh serta butiran lanjut berhubung taksiran ganti rugi,” katanya.
Dalam pada itu, pihak defendan turut diarahkan membayar kos guaman berjumlah RM100,000 kepada kesemua plaintif susulan keputusan berkenaan.
Bagaimanapun, dalam penghakiman sama, pihak plaintif turut diarahkan membayar kos guaman kepada lapan defendan termasuk bekas Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG).
Kamarudin berkata, mahkamah sebelum ini tidak membenarkan tuntutan terhadap pihak kerajaan, JAS dan MBPG selepas mendapati pihak yang bertanggungjawab terhadap bencana pencemaran Sungai Kim Kim adalah pihak kilang serta individu yang terlibat dalam pembuangan sisa toksik.
Kes berkenaan bermula selepas pencemaran Sungai Kim Kim pada Mac 2019 menyebabkan lebih 2,000 orang awam terjejas, khususnya pelajar dan penduduk sekitar Pasir Gudang, selain mengakibatkan penutupan 111 sekolah.
Perbicaraan yang sepatutnya bermula pada 2020 tertangguh susulan pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sebelum disambung semula pada 2022, manakala pada 17 Julai 2023, mahkamah menolak permohonan P Tech Resources Sdn Bhd untuk mengenepikan saman sivil berkenaan.
Pada 30 November 2024, seorang pemandu lori didenda maksimum RM100,000 kerana menyebabkan pencemaran membabitkan pelupusan haram buangan terjadual di Sungai Kim Kim, manakala P Tech Resources Sdn Bhd turut didenda RM320,000 bagi lapan pertuduhan mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014.
Selepas hampir tujuh tahun menunggu, 171 plaintif kini boleh menarik nafas lega dengan kemenangan dalam fasa liabiliti itu, namun masih perlu menanti satu lagi proses mahkamah bagi menentukan jumlah ganti rugi yang bakal diterima.-KOSMO! ONLINE
The post Sungai Kim Kim: 171 mangsa pencemaran menang saman appeared first on Kosmo Online.




![[VIDEO] Sungai Kim Kim: 171 mangsa pencemaran menang saman](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/b5a413a9-8742-44e7-8f80-bb0766670a7e-1024x614.jpeg)
