Bapa maut, anak terselamat, kereta dinaiki dihempap pokok

24 Feb 2025 • 8:58 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Kereta dinaiki dua beranak ini dihempap pokok yang tumbang dalam kejadian di Jalan Batu 3, Kampung Bukit Kuda di sini pada Isnin.

image is not available
Anggota bomba menjalankan kerja mengeluarkan mangsa dalam kejadian di Jalan Batu 3, Kampung Bukit Kuda di Klang pada Isnin.

KLANG - Seorang lelaki maut manakala anak perempuannya terselamat selepas kereta dinaiki dihempap sebatang pokok tumbang di Jalan Batu 3, Kampung Bukit Kuda di sini pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, mangsa, Azhehari Ansar tersepit di tempat duduk pemandu sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.31 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Klang Selatan dikejarkan ke lokasi.

"Seramai enam anggota bersama sebuah jentera tiba di lokasi pada jam 6.37 petang dan mendapati sebatang pokok tumbang menghempap sebuah kereta jenis Mercedes.

"Terdapat dua mangsa dalam kenderaan berkenaan iaitu seorang lelaki berumur 46 tahun dan anak perempuannya yang berumur 13 tahun," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

**media[3021597]**

Katanya, mangsa lelaki terbabit didapati tersepit di bahagian tempat duduk pemandu dan dalam keadaan tidak sedarkan diri.

"Pasukan bomba segera menjalankan kerja-kerja memotong pokok serta mengeluarkan mangsa yang tersepit.

"Mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 7.12 malam namun disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM," katanya.

Menurutnya, anak perempuan mangsa bagaimanapun berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba dan didapati tidak mengalami sebarang kecederaan.