Bapa Mengaku Rogol Anak Dipenjara 10 Tahun, 10 Sebatan

1 Jul 2025 • 4:36 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Seorang pekerja pemasang jubin dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah merogol anak kandungnya yang berusia 14 tahun.

Bapa rogol anak selepas balik dari sekolah

Menurut laporan Harian Metro, tertuduh, 46, didakwa melakukan perbuatan itu di ruang tamu rumah mereka di Batu Pahat pada 28 Ogos tahun lalu antara jam 2.30 hingga 4 petang, ketika mangsa baru pulang dari sekolah.

image is not available

Foto: Harian Metro

Siasatan polis mendapati kejadian berlaku ketika mangsa baru pulang dari sekolah dan berehat di ruang tamu sambil bermain telefon dengan tertuduh datang ke arahnya lalu melakukan perbuatan itu.

Kejadian disedari selepas salah seorang adik mangsa melihat perlakuan itu lalu memaklumkan kepada ibu mereka.

Mangsa kemudian menceritakan semuanya kepada si ibu yang ketika itu baru pulang dari kerja, sebelum satu laporan polis dibuat malam itu juga.

image is not available

Foto: Carian Google

Tertuduh ditahan tidak lama selepas itu di sebuah kawasan perumahan berhampiran.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum 30 tahun penjara dan sebatan tidak kurang 10 kali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Diyana Najihah Muhamed Fauzi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sumber: Harian Metro (Alias Abd Rani)