Bapa penyerang Balai Polis Ulu Tiram percaya Daesh khalifah dijanjikan

LocalPolitics
27 Apr 2026 • 8:09 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Bapa penyerang Balai Polis Ulu Tiram percaya Daesh khalifah dijanjikan
Radin Imran menukar pengakuan kepada bersalah, semasa prosiding hari kelima berkaitan ideologi keganasan, dihukum penjara 30 tahun oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin diberitahu bahawa bapa penyerang Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru percaya bahawa kumpulan pengganas Daesh merupakan khalifah yang dijanjikan, berasal daripada keturunan puteri bongsu Rasulullah, Fatimah Az-Zahra.

Timbalan Pendakwa Raya, Norinna Bahadun berkata demikian ketika membaca pengakuan bertulis Radin Imran Radin Mohd Yassin, 64, dalam perbicaraan hari kelima kes keluarga penyerang balai polis tersebut yang berdepan sembilan pertuduhan berkaitan ideologi keganasan.

Katanya, bapa kepada empat anak itu dilaporkan membuat pengakuan berkenaan ketika disiasat di bawah Seksyen 18A Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Beliau berkata, lelaki itu menyatakan bahawa kepercayaannya terbentuk selepas meneliti kitab-kitab tafsir.

“Tertuduh turut mengakui pernah mengikuti video upacara bai’ah dan meniru lafaz dalam bahasa Arab sebagai tanda sokongan.

“Dia tidak terlibat secara langsung dan mendakwa hanya memberi sokongan melalui doa.

“Ketika serbuan di rumah tertuduh, pihak polis mendapati tertuduh pertama menulis kenyataan berunsur kebencian terhadap kerajaan, polis dan tentera di dinding,” katanya.

Pendakwaan turut mendakwa tertuduh pertama berperanan mempengaruhi ahli keluarganya dengan fahaman ideologi keganasan, termasuk individu yang terlibat dalam serangan tersebut.

Selain itu, tertuduh menyatakan hasrat agar serangan dilakukan terhadap balai polis serta menganggap kematian dalam serangan sedemikian sebagai syahid.

Bagaimanapun, katanya, keadaan kesihatan yang uzur membataskan kemampuan tertuduh untuk melakukan perkara lain.

Mengikut pertuduhan, ibu penyerang, Rosna Jantan, 61, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan gagal memberi maklumat berkaitan ideologi keganasan di sebuah rumah di Kampung Sungai Tiram, Johor Bahru antara April 2017 hingga 17 Mei 2024.

Radin Imran membuat pengakuan sama atas empat pertuduhan menanam fahaman ideologi keganasan, memberi sokongan kepada perbuatan pengganas, memiliki senjata api untuk menjalankan aktiviti berkaitan keganasan dan memiliki sebuah buku berkaitan kumpulan pengganas.

Sementara itu, Radin Romyullah, 36, juga mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memberi sokongan dan memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas Daesh di sebuah rumah di lokasi sama.

Dua anak perempuan Radin Imran iaitu Farhah Sobrina, 25, dan Mariah, 20, turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja enggan memberi maklumat berkaitan ideologi keganasan.

Dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram pada 17 Mei 2024, dua konstabel, Allahyarham Ahmad Azza Fahmi Azhar, 24, dan Allahyarham Muhamad Syafiq Ahmad Said, 26, terkorban, sementara Koperal Mohd Hasif Roslan, 40 (kini Sarjan) cedera ditembak selepas diserang seorang penyerang lelaki yang akhirnya ditembak mati dalam insiden tersebut.

PENJELASAN PEMBETULAN