
KUALA LUMPUR - Bapa dan abang kepada penyerang Balai Polis Ulu Tiram di Johor dijatuhi hukuman penjara 30 tahun oleh Mahkamah Tinggi hari ini selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan berkaitan ideologi keganasan.
Hakim Nurulhuda Nur'aini Mohamad Nor menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun terhadap Radin Imran Radin Moha Yassin, 64, bagi setiap tiga pertuduhan iaitu menanam tahaman ideologi keganasan, memberi sokongan kepada perbuatan pengganas dan memiliki senjata api untuk aktiviti berkaitan keganasan manakala tiga tahun penjara atas kesalahan memiliki buku berkaitan kumpulan pengganas.
Anak lelakinya pula, Radin Romyullah, 36, dijatuhi hukuman penjara 30 tahun bagi satu pertuduhan memberi sokongan dan penjara tiga tahun kerana memiliki bahan berkaitan sebuah kumpulan pengganas.
Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak dari tarikh kedua-dua tertuduh ditangkap pada 17 Mei 2024.
Ini bermakna dua beranak itu akan menjalani hukuman penjara selama 30 tahun.
Dalam serangan di balai polis Ulu Tiram pada 17 Mei 2024, Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, terkorban manakala Koperal Mohd Hasif Roslan, 38, cedera ditembak selepas diserang Radin Luqman, 21, yang akhirnya ditembak mati dalam insiden tersebut.
Mahkamah juga menjatuhkan hukuman penjara empat tahun terhadap isteri Radin Imran iaitu Rosna Jantan, 6l, selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan gagal memberi maklumat berkaitan ideologi keganasan dan memerintahkan wanita itu menjalani hukuman penjara bermula tarikh sama (17 Mei). - BERNAMA






