KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Bapa dan abang sulung suspek penyerang Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru menukar pengakuan kepada bersalah, semasa prosiding hari kelima berkaitan ideologi keganasan, dihukum penjara 30 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin.
Sementara ibu penyerang, Rosna Jantan, 61, dihukum penjara selama empat tahun selepas membuat pengakuan sama bagi satu pertuduhan gagal memberi maklumat berkaitan ideologi keganasan.
Radin Imran Radin Mohd Yassin, 64, Rosna yang berkerusi roda dan anak mereka, Radin Romyullah, 36, dikenakan hukuman itu selepas semua pertuduhan dibacakan semula di hadapan Hakim, Nurulhuda Nur'aini Mohamad Nor.
Semasa membaca keputusan berkenaan, Nurulhuda Nur'aini berkata, mahkamah membuat keputusan berkenaan selepas meneliti fakta, eksibit dan hujahan yang dikemukakan pihak pendakwaan serta pembelaan.
“Tertuduh pertama iaitu Radin Imran, kamu dihukum penjara selama 30 tahun bagi pertuduhan menanam ideologi keganasan; 30 tahun kes memberi sokongan kepada pengganas dan 30 tahun lagi bagi pertuduhan memiliki senjata api.
“Kamu dihukum penjara tiga tahun bagi kes memiliki satu buku berkaitan kumpulan pengganas.
“Tertuduh kedua, Radin Romyullah yang didakwa memberi sokongan dihukum penjara selama 30 tahun manakala memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas Daesh dihukum tiga tahun.
“Tertuduh ketiga, Rosna dijel empat tahun kerana gagal memberi maklumat berkaitan ideologi itu,” kata hakim.
Beliau berkata, mahkamah memerintahkan hukuman bagi setiap tertuduh, berjalan secara serentak bermula tarikh tangkap, 17 Mei 2024.
Sementara dua lagi tertuduh iaitu adik-beradik penyerang, Mariah, 21, dan Farhah Sobrina, 25, dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan berkenaan.
Pada mulanya, semua tertuduh kelihatan tenang ketika mahkamah menjatuhkan hukuman tersebut.
Bagaimanapun, dua anak perempuan itu menangis teresak-esak ketika memeluk ibu bapa dan abang sulung mereka, sebelum dibawa ke penjara.
Ketika prosiding, hakim berkata, kesalahan yang dituduh amat serius sehingga mengakibatkan serangan dan kejadian bunuh di balai polis berkenaan.
Beliau tidak menolak hujahan peguam bahawa pengakuan bersalah tiga tertuduh di peringkat awal perbicaraan, dilihat boleh menjimatkan masa semua pihak, namun pada masa sama, ia tidak boleh dijadikan sebagai diskaun untuk meringankan hukuman terutama bagi kesalahan yang serius.
“Menerusi hujahan rayuan pembelaan tertuduh, tiada pembelaan yang munasabah dikemukakan kepada mahkamah, sehingga justifikasi sebab perbuatan mereka.
“Lebih-lebih lagi apabila kes ini direalisasikan melalui tragedi yang berlaku di balai polis itu, menjadikannya sebagai fakta kes yang relevan dalam menjatuhkan hukuman berkenaan.
“Terutama hukuman kepada tertuduh pertama, kerana kesalahan yang dilakukan telah membuihkan kepada kesalahan-kesalahan lain,” katanya.
Semasa prosiding, peguam, Faizal Rahman yang mewakili semua tertuduh, memberitahu mahkamah bahawa, Jabatan Peguam Negara (AGC) telah menerima representasi yang dikemukakan semua tertuduh.
Katanya, representasi membabitkan tiga tertuduh iaitu Radin Imran dan isterinya yang juga warga Singapura bersama anak lelaki mereka, Radin Romyullah supaya mengaku bersalah atas semua pertuduhan.
Timbalan Pendakwa Raya, Norinna Bahadun mengesahkan perkara berkenaan dan memohon semua pertuduhan dibacakan semula kepada tertuduh terbabit.
Selepas sabitan dan hukuman ke atas tiga tertuduh berkenaan diputuskan, Norinna berkata, pihak pendakwaan tidak meneruskan pertuduhan terhadap dua lagi anak perempuan pasangan itu Mariah dan Farhah Sobrina.
Pendakwaan yang diketuai oleh Norinna turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam, Lokman Kassim, Yazid Mustaqim Roslan dan Maryam Jamielah Ab Manaf.
Mengikut pertuduhan, Rosna mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan gagal memberi maklumat berkaitan ideologi keganasan di sebuah rumah di Kampung Sungai Tiram, Johor Bahru antara April 2017 hingga 17 Mei 2024.
Radin Imran juga membuat pengakuan sama, atas empat pertuduhan menanam fahaman ideologi keganasan, memberi sokongan kepada perbuatan pengganas, memiliki senjata api untuk menjalankan aktiviti berkaitan keganasan dan memiliki sebuah buku berkaitan kumpulan pengganas.
Sementara itu, Radin Romyullah mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memberi sokongan dan memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas Daesh di sebuah rumah di lokasi sama.
Dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram pada 17 Mei 2024, dua konstabel, Allahyarham Ahmad Azza Fahmi Azhar, 24, dan Allahyarham Muhamad Syafiq Ahmad Said, 26, terkorban sementara Koperal Mohd Hasif Roslan, 40, (kini Sarjan) cedera ditembak selepas diserang seorang lelaki, Radin Luqman, 19, yang akhirnya ditembak mati dalam insiden tersebut.


