
KUALA KRAI: Seorang bapa sanggup turun sendiri menyusuri Sungai Kelantan di Kampung Batu Lada, Aur Duri di sini bersama penduduk kampung untuk mencari anaknya, Muhammad Rayyan Hakimie, 14, yang hilang sejak Selasa lalu.
Mohd. Yusmiza Mamat, 42, menaiki bot bersama penduduk kampung selepas mendapat kebenaran daripada agensi penyelamat untuk turut serta dalam gerakan mencari dan menyelamat (SAR).
Isterinya, Norhasmiza Kamarudin, 39, berkata, dia dan seluruh keluarga tidak putus berdoa supaya jasad Muhammad Rayyan ditemukan.
“Saya berharap sangat jasadnya ditemukan dengan izin Allah,” katanya ketika dihubungi semalam.
Norhasmiza berkata, seluruh keluarga turut melakukan solat hajat di tepi sungai, kelmarin bagi memudahkan SAR.
“Sejak kejadian itu, kami sekeluarga berulang-alik ke kawasan sungai setiap pagi dan pulang lewat petang, sebelum datang keesokkan pada sebelah pagi. Apa pun saya berserah kepada Allah dan reda dengan ketentuan-Nya,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai, Penguasa Bomba Kanan Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata, operasi SAR semalam diperluas sejauh kira-kira enam kilometer di Sungai Kelantan.
Katanya, seramai 56 anggota bomba termasuk daripada Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) bertungkus-lumus meneruskan pencarian sejak pukul 8.30 pagi.
“Khidmat anjing daripada Unit K9 turut membantu selain anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta penduduk kampung. Setakat ini, tiada petunjuk baharu di samping paras air sungai meningkat,” katanya.
Terdahulu, dua pelajar tingkatan dua dikhuatiri hilang selepas mandi di Sungai Kelantan berhampiran Kampung Batu Lada, Selasa lalu.
Bagaimanapun, mayat seorang daripada mangsa, Muhammad Lut Naiman Mohd. Noor Aziron, 14, ditemukan pada pukul 9.10 pagi, Rabu lalu. – UTUSAN
The post Bapa sertai operasi cari Muhammad Rayyan di Sungai Kelantan appeared first on Utusan Malaysia.






