
KUALA KRAI – Mayat seorang lagi remaja yang lemas ketika mandi di Sungai Kelantan dekat Kampung Batu Lada, Aur Duri di sini pada Selasa lalu dijumpai kira-kira 51 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan tenggelam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata, mayat Muhammad Rayyan Hakimie Mohd. Yusmiza, 14, ditemukan kira-kira pukul 1 tengah hari tadi di kawasan Sungai Kelantan dekat Kampung Bandar, Pulai Chondong, Machang selepas hampir 70 jam dihanyut arus sungai.
Katanya, mayat remaja itu kemudian diserahkan kepada polis sebelum dihantar ke Hospital Sultan Ismail Petra di sini.
“Kita dimaklumkan bahawa mangsa dijumpai di Pulai Chondong, Machang. Operasi mencari mangsa kemudian ditutup selepas mayat remaja itu ditemukan,” katanya.
Difahamkan, mayat mangsa ditemui dalam keadaan terapung dan tersangkut pada ranting buluh di kawasan tersebut.
Sementara itu, ibu mangsa, Norhasmiza Kamarudin, 39, berkata, dia bersyukur apabila mayat anak lelakinya yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik dijumpai pada hari ini.
Katanya, jenazah Muhammad Rayyan akan dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Aur Duri di sini pada lewat petang ini.
“Saya turut menghargai keprihatinan Ahli Dewan Undangan Negeri Guchil, Hilmi Abdullah, pasukan penyelamat, penduduk kampung bersama beberapa rakan arwah anak yang membantu operasi pencarian dan membuat pengecaman terhadap mayat arwah Muhammad Rayyan,” katanya.
Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, kegembiraan lima sekawan mandi-manda di kawasan Sungai Kelantan bertukar tragedi apabila dua daripada mereka dikhuatiri lemas dalam kejadian di Kampung Batu Lada, Aur Duri di sini pada Selasa lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, kedua-dua mangsa, Muhammad Rayyan dan Luth Naiman Mohd. Noraziron, 14, yang masing-masing berusia 14 tahun dipercayai lemas di sungai tersebut.
Mayat Luth Naiman ditemukan pada pukul 9.10 pagi Rabu lalu kira-kira 100 meter dari lokasi mangsa lemas selepas hampir 15 jam tenggelam di dalam sungai tersebut. – KOSMO! ONLINE
The post Mangsa kedua lemas Sungai Kelantan ditemukan sejauh 51 km di Machang appeared first on Kosmo Digital.






![[KEMASKINI] Penunggang skuter rentung di LPT 2 dikenal pasti seorang guru](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/RENTUNG-MENINGGAL-DUNIA-1024x768.jpeg)