SHAH ALAM - Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membidas kritikan bekas Menteri Perdagangan Indonesia, Muhammad Lutfi berhubung gesaan supaya ASEAN 'memulaukan' Indonesia susulan isu jerebu rentas sempadan.
Syed Saddiq menegaskan, isu berkenaan tidak seharusnya dilihat sebagai pertelingkahan antara dua negara, sebaliknya perlu ditangani menerusi tindakan berasaskan bukti terhadap pihak yang terbukti mencemarkan alam sekitar.
Jelasnya, mana-mana syarikat dari Malaysia, Indonesia mahupun Singapura yang terbukti membakar hutan demi keuntungan wajib dikenakan tindakan mengikut lunas perundangan Indonesia.
"Ini bukan soal Malaysia lawan Indonesia. Bendera kita berbeza tetapi apabila sesak nafas, deritanya sama. Jadi, bila bapak (Muhammad Lutfi) kata syarikat Malaysia salah, syarikat Singapura salah, kalau ada bukti sila hukum!
"Saya tidak akan jadi pelindung pencemar walaupun (pelakunya) dari negara saya sendiri," katanya menerusi hantaran video dimuat naik di Instagram pada Rabu.
Sebelum ini, Muhammad Lutfi mengkritik gesaan Syed Saddiq ketika perbahasan di Dewan Rakyat, sambil menyifatkan tindakan menyasarkan keseluruhan Indonesia berhubung isu jerebu sebagai tidak wajar.
Menurutnya, pihak yang bertanggungjawab terhadap kebakaran hutan dan tanah perlu dikenal pasti sebelum tindakan sewajarnya diambil.
Mengulas lanjut, Syed Saddiq mengemukakan tiga respons yang menurutnya perlu diberi perhatian berdasarkan fakta dan data yang diperoleh.
Pertama, beliau menggesa Indonesia mengambil tindakan secepat mungkin terhadap pihak yang terbukti membakar hutan demi mengaut keuntungan segera.
Beliau turut meminta Muhammad Lutfi menonton keseluruhan ucapannya di Parlimen dan bukannya bergantung pada potongan video perbahasan.
"Di Parlimen, saya sendiri sudah mendesak tindakan terhadap syarikat Malaysia yang terlibat (jika ada). Tonton ucapan penuh saya, jangan potong ucapan sampaikan 'terpotong' kebenaran.
"Tindak (kenakan tindakan terhadap) pelakunya, jangan pilih benderanya. Perusahaan Malaysia, Indonesia atau Singapura kalau terbukti membakar hutan untuk keuntungan cepat, ambil tindakan.
"Bendera bukan lesen untuk merosakkan alam, mereka beroperasi di Indonesia dan di bawah undang-undang Indonesia. Kuasa terletak pada tangan kamu!" tegas bekas Menteri Belia dan Sukan itu lagi.
Kedua, Syed Saddiq berkata, memiliki ladang besar bukan bukti kukuh bahawa pemiliknya bersalah dalam isu pembakaran hutan.
"Bapak kata tentang SD Guthrie, ya syarikat besar tetapi sampai sekarang tiada bukti mereka pencetus kebakaran.
"SD Guthrie mempunyai lebih 67 pasukan pemadam kebakaran dengan 1,005 anggota terlatih, bahkan teknologi dron dan inframerah dengan perbelanjaan melebihi RM800,000 sebulan untuk menangani isu ini," jelasnya.
Ketiga, beliau mengingatkan Muhammad Lutfi supaya tidak memetik sebahagian maklumat daripada laporan, termasuk laporan yang diterbitkan Greenpeace, sehingga mengetepikan gambaran keseluruhan isu berkenaan.
Katanya, laporan hanya merekodkan 19 titik sumber asap di konsesi syarikat Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) berbanding 6,811 yang lain.
"Bapak mahu kami hanya fokus kepada penyumbang 0.3 peratus dari 99.7 peratus yang lain.
"Jangan lantang terhadap satu nama kemudian senyap terhadap yang lain. Ini bukan Malaysia lawan Indonesia, ini rakyat yang mahukan udara bersih melawan pihak yang mengotorkannya.
"Bila hutan dibakar untuk keuntungan, anak Malaysia sesak nafas dan anak Indonesia pun sama. Untung masuk akaun syarikat, asap masuk paru-paru rakyat," ujarnya.



![Isu Jerebu: “Ini Bukan Malaysia Lawan Indonesia” – Syed Saddiq Bidas Kenyataan Bekas Menteri Perdagangan Indonesia [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/10/Syed-Saddiq-balas-kritikan-bekas-menteri-perdagangan-indonesia-mengenai-isu-jerebu-1.jpg?t=1792633696)
![[VIDEO] ‘Ini bukan soal Malaysia lawan Indonesia, tapi asap masuk paru-paru rakyat’](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/syed-saddiq-muhammad-lutfi-1024x682.jpeg)

