Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

Baru sahaja 3 hari melayari alam rumah tangga, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sudah kembali menjalankan tugasnya di Dewan Rakyat apabila membangkitkan isu jerebu yang sedang melanda negara.
Menerusi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2027 hari ini, Syed Saddiq menggariskan 3 langkah tegas yang perlu diambil kerajaan bagi menangani masalah jerebu termasuk menghantar nota diplomatik kepada Indonesia.
Artikel berkaitan : Bella Astillah Sah Menjadi Isteri Syed Saddiq Dengan Sekali Lafaz
Artikel berkaitan : Bella Astillah & Syed Saddiq Bakal Disatukan, Kisah Cinta Mereka Dirakam Dalam 8 Episod Eksklusif Astro
Isu yang dibangkitkan oleh Syed Saddiq

Menurutnya, jerebu bukan sekadar menjejaskan kesihatan rakyat, malah turut memberi kesan kepada sektor pendidikan apabila sekolah terpaksa ditutup sehingga menyebabkan murid kehilangan waktu pembelajaran.
Syed Saddiq menegaskan kerajaan tidak sepatutnya hanya bergantung kepada perbincangan menerusi panggilan telefon dengan pemimpin Indonesia, sebaliknya perlu menyatakan bantahan secara rasmi dan tegas.
“Tidak memadai sekadar menghubungi Presiden atau mengadakan perbincangan melalui panggilan telefon. Kita perlu melakukan lebih daripada itu.”
“Kita perlu menghantar nota diplomatik yang tegas bagi menyatakan bantahan Malaysia terhadap isu ini.”
“Malah, bantahan itu tidak seharusnya dibuat oleh Malaysia sahaja, sebaliknya perlu mendapat persetujuan bersama negara ASEAN, khususnya negara jiran yang turut terjejas seperti Singapura, yang sudah menyuarakan bantahan diplomatik secara jelas,” katanya.
Selain itu, Syed Saddiq turut mencadangkan supaya syarikat yang terlibat dalam pembakaran hutan dan pembukaan tanah menggunakan yang kaedah tebang dan bakar disekat daripada mendapat akses kepada pembiayaan pasaran serta pinjaman daripada institusi kewangan negara.
Beliau turut menegaskan agar isu jerebu tidak seharusnya dilihat sebagai pertikaian antara Malaysia dan Indonesia semata-mata, sebaliknya tindakan perlu dikenakan terhadap mana-mana syarikat yang terbukti terlibat, termasuk syarikat dari Malaysia atau Singapura.
“Isu ini bukan sekadar pertikaian antara Indonesia dengan Malaysia. Jika terdapat syarikat Malaysia atau Singapura yang dikaitkan dengan amalan berkenaan, termasuk syarikat yang dinamakan oleh Greenpeace, Malaysia perlu mengambil tindakan terhadap syarikat berkenaan.”
“Singapura sudah memperkenalkan undang-undang berkaitan jerebu rentas sempadan yang membolehkan tindakan diambil terhadap syarikat terbabit dalam amalan pembakaran hutan dan tanah.”
“Malaysia juga perlu mengambil pendekatan sama. Jika ada syarikat Malaysia bersekongkol dalam kegiatan itu, tindakan mesti diambil tanpa kompromi. Kita perlu menunjukkan undang-undang dikuatkuasakan secara tegas tanpa mengira siapa yang terbabit,” katanya.
Syed Saddiq turut membangkitkan supaya rakyat memainkan peranan melalui tekanan pengguna dan tindakan ekonomi terhadap syarikat yang terlibat. Katanya, walaupun Malaysia mempunyai kira-kira 30 juta penduduk, kuasa beli rakyat masih mampu memberikan pengaruh besar terhadap syarikat di rantau ini.

“Walaupun Malaysia hanya mempunyai kira-kira 30 juta penduduk, kuasa beli rakyat kita tetap mempunyai pengaruh besar di rantau ini. Oleh demikian, kita boleh menggunakan kuasa pengguna untuk memberikan tekanan kepada syarikat yang terbabit,” katanya.
Untuk rekod, beliau selamat bergelar suami kepada pelakon dan penyanyi, Bella Astillah atau nama sebenarnya Dayang Nabellah Awang Astillah, menerusi majlis akad nikah yang berlangsung di Tingkat 118, Merdeka 118 Precinct, Kuala Lumpur pada Sabtu lalu.
Pasangan itu disatukan dengan sekali lafaz pada jam 10.41 pagi dalam majlis yang dihadiri oleh ahli keluarga serta kenalan rapat mereka.
Sumber: Berita Harian
Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.




