johardy15/09/2026 - 08:00 Oleh Muhammad Iman editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 15 Sept - Puteri Johor yang juga kakanda Yang di-Pertuan Agong, Tunku Kamariah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar meletakkan jawatan sebagai Pengarah Eksekutif dan Timbalan Pengerusi Techna-X Berhad pada Isnin (14 Sept), hanya empat hari selepas menyertai Lembaga Pengarah syarikat itu.
Menurut pemakluman Techna-X kepada Bursa Malaysia, peletakan jawatan beliau adalah disebabkan komitmen peribadi. Tunku Kamariah dilantik menganggotai Lembaga Pengarah syarikat itu pada Khamis (10 Sept).
Anak Tunku Kamariah, Tengku Shahrain Shah Tengku Sulaiman Shah turut meletakkan jawatan sebagai Pengarah Bebas dan Bukan Eksekutif Techna-X pada hari sama atas alasan "komitmen peribadi".
Tengku Shahrain menganggotai Lembaga Pengarah Techna-X sejak Julai 2024.
ARTIKEL BERKAITAN: Techna-X lantik kakanda Yang di-Pertuan Agong, Tunku Kamariah Aminah sebagai Timbalan Pengerusi
Bursa tegur Techna-X
Rabu lalu, Bursa Malaysia Securities menegur secara terbuka Techna-X kerana gagal mengeluarkan laporan tahunan bagi tempoh kewangan 18 bulan berakhir 31 Disember 2025 sebelum tarikh akhir 30 April, selain ketidaktepatan dalam keputusan kewangan belum diaudit yang diumumkan sebelum ini.
Techna-X, sebuah syarikat yang terlibat dalam operasi restoran dan penyediaan francais serta mencatatkan kerugian bagi sebahagian besar tempoh lima tahun kewangan lalu, akhirnya mengeluarkan laporan tahunannya pada 8 Mei — lewat lima hari pasaran.
Bursa berkata kelewatan itu terutama disebabkan kegagalan syarikat menyelenggara atau menyediakan maklumat, dokumen dan rekod perakaunan yang diperlukan kepada juruaudit luarnya dalam tempoh yang membolehkan audit disiapkan.
Pengawal selia itu turut mendapati laporan suku keenam Techna-X tidak mengambil kira pelarasan yang kemudiannya didedahkan pada Mei.
Syarikat itu pada mulanya melaporkan kerugian belum diaudit yang boleh diagihkan kepada pemilik sebanyak RM23.58 juta, berbanding kerugian diaudit RM29.26 juta, iaitu perbezaan RM5.68 juta atau 24.1%.
Bursa Securities kemudian mengarahkan Techna-X supaya juruaudit luarnya menjalankan semakan terhad terhadap laporan suku tahunan syarikat bagi empat suku tahun, bermula selewat-lewatnya pada suku berakhir 30 September 2026.
Pengarah syarikat dan kakitangan berkaitan turut diwajibkan menjalani latihan mengenai pematuhan Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama, manakala Lembaga Pengarah diarahkan mengkaji semula kecukupan sumber kewangan dan perakaunan serta prosedur pelaporan kewangannya.
Pelupusan kepentingan RM45 juta turut dipersoal
Teguran itu dibuat tidak lama selepas Bursa meminta penjelasan daripada Techna-X mengenai cadangan pelupusan 50% kepentingannya dalam pengeluar bateri berpangkalan di Hong Kong, HK Aerospace Beidou New Energy Technology Co Ltd (HKAB), bernilai RM45 juta susulan pendedahan bercanggah mengenai pemilikan kepentingan tersebut oleh kumpulan itu.
Techna-X kemudiannya menjelaskan bahawa ia kekal sebagai pemilik sah dan benefisial bagi 50% kepentingan dalam HKAB selepas pembeli di bawah perjanjian jualan terdahulu pada Disember 2025 gagal memenuhi obligasinya dan perjanjian tersebut ditamatkan pada 10 Julai tahun ini.
Saham Techna-X susut satu sen atau 22.22% kepada 3.5 sen pada penutupan dagangan Isnin, menjadikan permodalan pasaran kumpulan itu kira-kira RM10 juta. - DagangNews.com






