Tuanku Muhriz Kekal Yamtuan Besar Negeri Sembilan - DKU

LocalPolitics
14 Sep 2026 • 7:32 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Tuanku Muhriz Kekal Yamtuan Besar Negeri Sembilan - DKU

SEREMBAN - Tuanku Muhriz Tuanku Munawir kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan kerana tiada proses yang sah pernah menyebabkan baginda terlucut daripada jawatan berkenaan.

Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan menegaskan, -pengumuman pada 5 September lalu yang bertujuan menurunkan Tuanku Muhriz daripada jawatan itu tidak mempunyai kesan di sisi Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan mahupun adat.

Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat khas DKU pada Ahad, sebelum kenyataan media berhubung perkara berkenaan dikeluarkan hari ini.

Menurut DKU, dokumen bertarikh 5 September itu bersandarkan kepada suatu pemasyhuran bertarikh 19 April yang sebelum ini telah diputuskan sebagai cacat, luput dan terbatal.

“Tiada proses yang sah pernah menyebabkan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Muhriz Tuanku Munawir terhenti daripada memegang jawatan berkenaan.

“Baginda kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan Presiden Dewan,” menurut kenyataan itu.

DKU menjelaskan, pemasyhuran pada 19 April adalah tidak sah kerana tiga daripada empat penandatangan dokumen berkenaan bukan Undang yang diiktiraf pada ketika itu.

Selain itu, siasatan penuh seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara X(1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 tidak pernah dijalankan.

Menurut DKU, Tuanku Muhriz juga tidak pernah diberikan notis atau peluang untuk memberikan penjelasan berhubung perkara tersebut.

DKU berkata Menteri Besar ketika itu, Datuk Seri Aminuddin Harun, enggan menandatangani pemasyhuran berkenaan pada 20 April kerana syarat di bawah Perkara X tidak dipenuhi dan salah seorang penandatangan bukan Undang yang sah.

Keengganan tersebut bermakna fungsi Menteri Besar seperti diperuntukkan di bawah Perkara X(2) telah dilaksanakan, sekali gus menyebabkan pemasyhuran berkenaan luput dan terbatal.

Justeru, tindakan Menteri Besar baharu, Datuk Ismail Lasim, menandatangani dokumen yang pada asasnya merupakan pemasyhuran sama pada 5 September tidak dapat memperbetulkan kecacatan tersebut.

DKU menegaskan, pertukaran Menteri Besar tidak membolehkan sesuatu fungsi yang telah dilaksanakan sebelum ini diulangi kerana ia akan membuka ruang untuk pemasyhuran sama dihidupkan semula setiap kali berlaku pertukaran pentadbiran.

Sementara itu, DKU berkata tindakan enam individu yang menandatangani dokumen bertarikh 5 September boleh dianggap sebagai perbuatan “derhaka” mengikut adat dan undang-undang.

Ini kerana empat daripada mereka didakwa tidak memegang jawatan seperti dinyatakan, selain menandatangani dokumen untuk menurunkan Yang di-Pertuan Besar tanpa menjalankan siasatan mandatori serta mengeluarkan arahan kepada pegawai kerajaan tanpa kuasa yang sah.

Sehubungan itu, DKU mengarahkan setiausahanya membuat laporan polis bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan.

DKU turut mengarahkan kerajaan negeri dan semua pegawainya untuk terus mengiktiraf serta berurusan dengan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Dewan menegaskan, Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar yang sah serta Presiden Dewan, dan tiada kekosongan berlaku bagi jawatan berkenaan.

DKU turut menjelaskan pemegang jawatan Undang ketika ini ialah Datuk Klana Petra Muhammad Faris Johari bagi Luak Sungei Ujong, Datuk Sedia Raja Haji Hassan Ab Hamid bagi Luak Rembau dan Datuk Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Datuk Haji Muhammed Abdullah bagi Luak Johol.

Jawatan Undang Luak Jelebu dan Datuk Shahbandar Sungei Ujong pula masih kosong.

Dewan turut menggesa semua pihak supaya tidak menyebarkan dakwaan tidak berasas berkaitan institusi Yang di-Pertuan Besar dan Undang, sambil menegaskan bahawa institusi adat berkenaan merupakan amanah untuk rakyat dan waris, bukannya hak milik mana-mana pihak atau individu. - Getaran, 14 September 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved