Baru dua bulan bekerja, tukang kebun pulangkan gelang emas RM15,000

10 Sep 2026 • 12:28 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Baru dua bulan bekerja, tukang kebun pulangkan gelang emas RM15,000
Anddy (tengah) menunjukkan gelang emas ditemui Ahad lalu. Foto SINAR HARIAN/NORAFIZA JAAFAR
Image from: Baru dua bulan bekerja, tukang kebun pulangkan gelang emas RM15,000
Anddy menunjukkan lokasi gelang emas itu ditemui. Foto SINAR HARIAN/NORAFIZA JAAFAR
Image from: Baru dua bulan bekerja, tukang kebun pulangkan gelang emas RM15,000
Gelang emas ditemui pada Ahad lalu. Foto SINAR HARIAN/NORAFIZA JAAFAR

MELAKA - Kejujuran seorang tukang kebun di Muzium Samudera, Banda Hilir di sini tidak rambang mata apabila memulangkan seutas gelang emas yang dianggarkan bernilai RM15,000, Ahad lalu wajar dipuji.

Tengku Anddy Asmawi Tengku Ahamad, 28, yang baru dua bulan bekerja di muzium berkenaan tidak berfikir panjang dan terus menyerahkan gelang seberat 25 gram itu kepada kakitangan muzium.

Menurutnya, barang kemas itu ditemui sekitar jam 7 pagi ketika sedang menjalankan kerja membersihkan kawasan.

“Tak ada rambang mata dan tidak fikir apa-apa. Saya nampak gelang emas itu, terus bagi kepada staf.

“Kenapa saya pulangkan? Sebab amanah. Itu tanggungjawab kita dalam kerja,” katanya ketika ditemui di muzium berkenaan pada Khamis.

**media[3642483]**

Bapa kepada dua anak itu berkata, gelang berkenaan merupakan barang pertama yang ditemuinya sepanjang bekerja di situ.

“Sebelum ini saya turut bekerja sebagai tukang kebun di muzium di Terengganu sebelum berpindah ke Melaka kerana isteri orang sini.

“Saya tidak pernah terlintas untuk menyimpan atau mengambil barang berkenaan. Gaji pun kita cari rezeki untuk anak dan isteri. Bila jumpa, memang saya terus pulangkan,” katanya.

Sementara itu, Pembantu Khidmat Am Muzium Samudera, Khairuddin Mohamad Yusop berkata, dia menerima gelang emas berkenaan daripada Anddy sebaik tiba di tempat kerja pada pagi Ahad.

Katanya, gelang itu kemudian disimpan sebelum dimaklumkan kepada pegawai pada Selasa untuk tindakan lanjut.

**media[3642484]**

Ujarnya, di Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), kakitangan dididik untuk amanah dan jujur apabila barang milik pelanggan, pelancong atau pengunjung memang disimpan dan pulangkan apabila dituntut.

“Sepanjang 19 tahun bertugas, pernah ada beg tangan ditinggalkan selepas pemiliknya mengambil gambar sebelum masuk ke muzium. Saya simpan dan apabila dia datang menuntut, saya pulangkan.

“Ada juga telefon bimbit yang dituntut oleh ahli keluarga pemilik.

“Kita sudah diajar cara bekerja dengan amanah. Jadi apabila jumpa barang, kita serahkan. Itu tanggungjawab yang diberikan kepada kita,” katanya.

Dalam pada itu, pemilik gelang berkenaan dari Kuala Lumpur dijangka akan menuntut barangan berkenaan Sabtu ini.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved