SHAH ALAM - Akses mudah ke rangkaian lebuh raya dan pelabuhan dipercayai antara faktor Puncak Alam di Kuala Selangor menjadi pilihan sindiket untuk menjalankan kegiatan pemprosesan serta penyimpanan dadah.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kedudukan sesuatu kawasan menjadi antara pertimbangan sindiket sebelum memilih premis untuk menjalankan kegiatan haram.
"Sama seperti polis mempunyai pertimbangan tertentu dalam menentukan lokasi operasi, penjenayah juga tidak akan memilih sesuatu tempat secara sembarangan.
"Lebuh raya dan pelabuhan yang mudah diakses itu antara pertimbangan yang digunakan pihak sindiket. Penjenayah pun tidak sembarangan membuat sesuatu tempat atau premis sebagai lokasi aktiviti mereka," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, Khamis.
Kenyataan itu susulan kejayaan polis membongkar makmal dadah haram di Puncak Alam pada 15 Ogos lalu, yang menjadi kes ketiga membabitkan rampasan dadah berskala besar di kawasan berkenaan.
Dalam serbuan terbaharu itu, polis merampas dadah bernilai RM2.4 bilion.
Sebelum ini, pada Ogos 2019, sebanyak 3,667 kilogram dadah jenis kokain dan ketamin bernilai RM676 juta dirampas dalam dua serbuan, termasuk di sebuah premis di Puncak Alam.
Kes kedua berlaku pada Januari 2025 apabila polis membongkar sebuah makmal dadah haram di Taman Industri Alam Jaya, Puncak Alam.
Dalam operasi itu, sebanyak 832.9kg pelbagai jenis dadah bernilai hampir RM118 juta dirampas selain senjata api dan peluru.
Shazeli berkata, polis sentiasa meningkatkan kawalan keselamatan dan operasi berdasarkan maklumat daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ).
Katanya, rondaan di kawasan berkaitan turut dilaksanakan dan dipertingkatkan bagi mengekang aktiviti jenayah.
Dalam pada itu, beliau berkata, beberapa faktor perlu dipertimbangkan sebelum sesebuah balai polis baharu diwujudkan, antaranya kepadatan penduduk, kepesatan ekonomi dan situasi jenayah semasa.
Sebelum ini, Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, rampasan dadah bernilai RM2.4 bilion dalam operasi Op Eumenes bukan sahaja yang terbesar tahun ini, malah antara rampasan terbesar dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan.
Menurutnya, operasi berkenaan dijalankan selepas polis melakukan risikan selama kira-kira tiga hingga empat bulan sebelum membawa kepada enam siri operasi di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.
Operasi itu turut menyaksikan lima suspek berusia antara 29 hingga 43 tahun ditahan.






