SHAH ALAM - Enam sindiket dadah membabitkan penyeludupan melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan premis kediaman yang dijadikan stor serta tempat pengedaran di sekitar Lembah Klang dilumpuhkan dengan rampasan bernilai RM31.53 juta.
Operasi yang bermula 19 hingga 26 Ogos lalu itu digerakkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang dan Sepang selain Polis Bantuan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
Serbuan melibatkan tiga kes di KLIA, dua kes di Sepang dan satu kes di Kajang serta satu lagi di Segambut, Kuala Lumpur.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, seramai 14 suspek berusia lingkungan 20 hingga 39 tahun termasuk empat wanita diberkas.
**media[3643085]**
Menurutnya, semakan mendapati lima suspek ialah warga tempatan, manakala sembilan merupakan warga asing.
"Hasil keseluruhan operasi ini bertindak merampas 214 bungkusan plastik mengandungi ketulan mampat disyaki bunga ganja seberat kira-kira 135.4 kilogram (kg), 2,325 peket berisi serbuk disyaki MDMA, 14 peket plastik berisi pil ekstasi serta 320 aluminium foil berisi pil eramin 5.
"Turut dirampas ialah 22 botol dan 118 kotak katrij berisi cecair MDMA, sebungkus plastik berisi serbuk ketamin selain lima mesin dipercayai alat membungkus dadah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, Khamis.
Shazeli berkata, siasatan mendapati enam sindiket terbabit merupakan kumpulan berlainan yang dipercayai aktif sejak enam bulan lepas.
Berkenaan penahanan suspek di KLIA, beliau berkata, tiga suspek warga Eropah dan Asia Tenggara.
"Harga upah bagi suspek disyaki berperanan sebagai keldai dadah ini berbeza. Ada yang dibayar dalam Ringgit Malaysia dan mata wang asal negara.
"Mereka ini pertama kali melakukan kegiatan itu dan anggaran upah diterima sekitar RM2,000 hingga RM3,000," ujarnya.
Beliau berkata, daripada kesemua tangkapan, 11 suspek telah dituduh di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, seorang disiasat mengikut Langkah Langkah Pencegahan Khas 1985 (LLPK), manakala dua dibebaskan.
"Semakan dokumen perjalanan bagi kesemua suspek warga asing didapati lima daripada mereka telah tamat tempoh Pas Lawatan Sosial," katanya.
Shazeli berkata, tangkapan dan rampasan itu membuktikan kewujudan sindiket dadah berskala besar yang terancang.
"Polis juga bertindak menyita kesemua harta suspek bernilai RM172,069 membabitkan lima kereta, empat utas rantai warna keemasan serta satu utas beg tangan jenama Hermes," katanya.
Tegasnya, Polis Diraja Malaysia akan terus mempergiatkan tindakan penguatkuasaan tanpa kompromi.






