“Baru saja boleh berjalan & aktif” – Kanak-kanak Lelaki 19 Bulan Dikhuatiri Hilang Sejak Semalam

25 Feb 2025 • 12:47 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Seorang kanak-kanak lelaki berusia 19 bulan dikhuatiri hilang sejak semalam daripada rumah keluarganya di Kampung Aira Kuala 3, Tanah Merah, Kelantan.

Kehilangan kanak-kanak yang dikenali sebagai Hud Aryan disedari keluarga kira-kira jam 7.20 malam tadi.

Menurut ibu saudaranya, Azean Irdawati Ramley, 44, sebelum kejadian, Hud berada dalam rumah dan diberi makan oleh ibunya sebelum wanita itu masuk ke dapur sebaik selesai menyuap nasi kepada anak tunggalnya, lapor Harian Metro.

“Kebetulan juga seorang saudara datang ke rumah dan ketika berbual, dia bertanyakan di mana Hud, selepas itu barulah kami menyedari Hud hilang.

“Ibunya mendapati pintu pagar rumah turut terbuka dan keadaan semakin kecoh dengan pencarian dibuat di sekitar parit di hadapan rumah serta hutan sekitar,” katanya.

 

image is not available

Tambah Azean, anak saudaranya itu baru saja boleh berjalan dan agak aktif malah memang suka bermain air dan disebabkan itulah pihaknya merasakan Hud menuju ke parit.

“Kami sangat risaukan keadaan Hud lebih-lebih lagi ibunya kerana Hud adalah anak tunggal dan pencarian masih lagi dibuat sehingga kini,” katanya.

Difahamkan, pihak bomba Tanah Merah sedang melakukan operasi pencarian sejak malam tadi di sekitar rumah termasuk kawasan hutan sekeliling terutama parit di hadapan rumah keluarga mangsa.

Operasi dilakukan dengan bantuan penduduk kampung dan turut meminta bantuan pasukan anjing pengesan (K9).

Semoga adik Hud dijumpai selamat.

Sumber: Harian Metro

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.