
KOTA BHARU – Ibu kepada salah seorang daripada tiga mangsa yang maut dalam nahas di Kilometer 25, Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Gua Musang pada 31 Julai lalu tidak menyangka layak menerima pencen Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) meskipun anaknya baru sebulan mencarum menerusi pertubuhan itu.
Kejadian pada pukul 7 pagi itu mengorbankan Muhamad Syazwan Hakimi Ibrahim, 21, yang merupakan pemandu kereta Perodua Myvi bersama Maria Yusuf, 42, dan anak wanita itu, Muhammad Ziekyr Iman Abli, 11.
Ibu kepada Allahyarham Muhamad Syazwan, Paridah Bedollah, 59, berkata, hasil caruman menerusi majikan kepada anaknya yang baru tiga bulan bekerja sebagai mekanik di sebuah pusat servis kenderaan melayakkan dia menerima pencen Faedah Orang Tanggungan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) sebanyak RM313.20 setiap bulan.
Katanya, jumlahnya itu perlu dibahagi dua dengan suami, Ibrahim Daud, 67, dan dia sangat bersyukur kerana pencen itu akan diterima sehingga akhir hayat.
“Selepas beberapa hari kematian Muhamad Syazwan, kakitangan Perkeso datang ke rumah dan memaklumkan bahawa saya dan suami layak menerima pencen hasil caruman arwah yang baru tiga bulan bekerja,” katanya ketika ditemui di rumahnya sempena Penyampaian Faedah Kes SKBBK di Kampung Tegayong Barat, Melor, di sini hari ini.
Terdahulu, Timbalan Pengarah Perkeso Kelantan, Nor Azieemah Ismail hadir menyampaikan penyata pencen dan sumbangan kepada Paridah dan Ibrahim.
Nor Azieemah berkata, arwah Muhamad Syazwan merupakan seorang pekerja yang dilindungi dan mencarum dibawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.
“Kes kemalangan arwah telah disahkan sebagai Bukan Bencana Kerja. Caruman Lindung 24 jam hanya RM8.65 berdasarkan gaji arwah sebanyak RM1,200,” ujarnya.
Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, seorang ibu dan anak lelakinya merupakan antara tiga mangsa yang maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan treler tangki di Kilometer 25, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, di sini pada 31 Julai lalu. – KOSMO! ONLINE
The post Baru sebulan carum Perkeso, ibu terkejut layak terima pencen arwah anak appeared first on Kosmo Digital.




![[KEMASKINI] Warga emas maut dalam gua selepas melawat tokong](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/Untitled-design-2026-08-07T150245.093.png)

