
SENTIMEN sebahagian masyarakat yang mempersoalkan keperluan Skim Lindung 24 Jam di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kini disangkal sendiri oleh pencarum yang telah merasai manfaat sebenar skim tersebut walaupun baru dua bulan dikuatkuasakan.
Realiti krisis kewangan yang menimpa pencarum apabila mengalami kecederaan fizikal di luar waktu kerja terbukti berjaya diserap menerusi penggantian pendapatan serta pembiayaan kos perubatan yang komprehensif.
Pencarum sektor swasta dari Johor Bahru, Mohamad Haziq Iqmal Omar, 30, berkata, dia mengalami kecederaan serius pada tisu dan ligamen lutut akibat terjatuh di dalam bilik air rumahnya pada malam 17 Julai lalu.
Menurutnya, walaupun prosedur pembedahan di hospital swasta ditanggung oleh kad perubatan persendirian, peranan Perkeso menerusi Lindung 24 Jam sangat membantu dari segi penggantian pendapatan sepanjang tempoh cuti sakit (MC).
“Apabila terjadi pada diri sendiri, baru saya faham pentingnya Lindung 24 Jam. Isu utama orang ramai enggan mencarum biasanya sebab mereka sudah ada kad perubatan persendirian, namun kad perubatan hanya menanggung kos rawatan hospital, bukannya menggantikan wang gaji yang hilang sewaktu bercuti sakit.
“Lagipun, liputan kad perubatan persendirian selalunya mahal sehingga mencecah ratusan ringgit sebulan dan ada kes kecederaan tertentu seperti masalah sakit belakang yang tidak ditanggung oleh insurans swasta atas faktor penilaian risiko,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas proses permohonan, Haziq Iqmal berkata, pengalaman menuntut faedah di bawah skim baharu ini adalah sangat pantas dan mesra pengguna berbanding dakwaan negatif segelintir pihak di media sosial.
“Proses permohonan Lindung 24 Jam ini sangat lancar kerana saya memohon pada hari Isnin dengan bantuan bahagian sumber manusia (HR) syarikat dan panduan pegawai Perkeso secara dalam talian.
“Keesokannya, pegawai Perkeso menghubungi saya untuk mengambil kenyataan, hari Khamis mereka membuat pengesahan dengan pihak majikan dan pada hari Jumaat, duit faedah RM540 bagi 16 hari MC terus dikreditkan ke akaun saya,” jelasnya.
Beliau berkata, prosedur tuntutan faedah bagi cuti sakit tambahan juga amat mudah dan tidak rumit.
“Pihak Perkeso menjelaskan bahawa saya cuma perlu menyerahkan salinan MC susulan dan semua urusan pemprosesan seterusnya akan diselesaikan oleh pihak mereka,” tambahnya.
Mengulas cabaran logistik selepas pembedahan, dia berkata, pegawai Perkeso turut menunjukkan sikap prihatin yang tinggi apabila menawarkan diri untuk hadir terus ke rumahnya bagi mengambil kenyataan sekiranya dia mempunyai kekangan pergerakan untuk ke pejabat Perkeso.
Katanya, wang bantuan berkenaan dimanfaatkan sepenuhnya untuk menampung kos rawatan susulan, pembelian ubat-ubatan tambahan di hospital serta memberikan sedikit sumbangan kepada ibu bapanya yang membantu menjaga anaknya sepanjang tempoh pemulihan.
Seorang lagi pencarum dari Kedah, Salmy Anas Ahmad, 52, mengalami kecederaan parah merangkumi pecah tengkorak kepala, patah tulang belakang serta luka anggota badan selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika menaiki motosikal bersama anaknya pada 18 Jun lalu.
Kejadian berlaku pada jam 2.30 petang di Jalan Alor Mengkudu sewaktu beliau yang bertugas sebagai Pegawai Khas Menteri Besar Kedah dalam perjalanan menuju ke bengkel kereta sebelum dirempuh sebuah motosikal lain dari arah hadapan.
Memandangkan kemalangan tersebut berlaku di luar waktu dan skop tugasan rasmi, kes beliau disahkan di bawah kategori Bukan Bencana Kerja selari dengan Seksyen 2(14A) Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.
Menerusi Skim Lindung 24 Jam, Salmy Anas yang dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah menerima bayaran Faedah Hilang Upaya Sementara berjumlah RM972 secara berperingkat mengikut tempoh cuti sakit beliau.
Selain penggantian pendapatan bulanan sepanjang tempoh pemulihan, Perkeso turut memproses dan meluluskan dua permohonan implan perubatan bagi pihak beliau yang melibatkan kos keseluruhan hampir RM20,000.
Pembiayaan implan tersebut merangkumi kos permohonan pertama sebanyak RM6,696 serta permohonan implan kedua bernilai RM15,810 bagi menyokong pembedahan tulang belakang beliau di samping penyerahan sumbangan Kotak Prihatin.
Mengulas lanjut, Salmy Anas menyifatkan Skim Lindung 24 Jam sebagai alternatif perlindungan paling berkesan bagi golongan pekerja yang kurang berkemampuan untuk memiliki insurans swasta.
“Ada dalam kalangan pekerja yang tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk mendapatkan insurans lain, jadi perlindungan 24 jam daripada Perkeso ini adalah alternatif terbaik kerana kadar carumannya tidak tinggi tetapi bantuan dan faedah yang diterima sangat besar serta meluas.
“Syaratnya juga tidak ketat seperti insurans luas dan saya mahu menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pencarum kerana wang caruman bersama inilah yang membantu sahabat-sahabat lain yang ditimpa krisis,” katanya.
Tambahnya, pengalaman berdepan krisis kesihatan serius membuktikannya bahawa prinsip solidariti dalam Perkeso amat penting untuk dikekalkan oleh semua lapisan tenaga kerja.
“Khusus buat saya yang melalui proses ini dan sahabat-sahabat lain yang mungkin mengalami masalah sama, marilah kita sama-sama mencarum kerana jika tidak dapat faedah untuk diri sendiri, sekurang-kurangnya ia membantu orang lain yang memerlukan,” tambahnya. – UTUSAN
The post ‘Baru saya faham pentingnya Lindung 24 Jam’ appeared first on Utusan Malaysia.





