Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang dikatakan baru seminggu mengenali seorang lelaki dicekup berkhalwat bersama teman lelakinya itu di dalam tandas sebuah surau di sebuah kampung di Kilang Lama, awal pagi tadi.
Menurut laporan BH Online, remaja yang tidak lagi bersekolah itu berkenalan dengan lelaki terbabit ketika bekerja di gerai nasi lemak yang sama sebelum menjalinkan hubungan.
Pegawai Penguat Kuasa Agama Daerah Kulim, Anwar Sharifuddin Mat Saad berkata, pihaknya menerima maklumat daripada penduduk kampung mengenai kejadian itu kira-kira jam 1.30 pagi.

Beliau berkata, pemeriksaan yang dilakukan mendapati pasangan terbabit berada dalam keadaan berpakaian tidak lengkap.
“Lelaki berkenaan berusia 18 tahun dan berasal dari Sungai Kob, Karangan dan bekerja berniaga nasi lemak.
“Hasil soal siasat yang dilakukan mendapati, dia dan pasangannya itu baru seminggu berkenalan di tempat kerja yang sama.
“Remaja perempuan itu pula berasal dari Changlun di daerah Kubang Pasu dan tinggal di Sungai Ular, di sini bersama ibu saudaranya,” katanya.
Menurutnya, penduduk yang berniaga berhampiran surau berkenaan mendakwa sering melihat pasangan itu memasuki kawasan surau terbabit, malah kejadian itu dipercayai berlaku hampir tiga kali pada lewat pagi.
Anwar Sharifuddin berkata, berasa curiga dengan perlakuan pasangan terbabit, orang awam kemudian membuat pemeriksaan sebelum menemui mereka berdua di dalam tandas surau.
“Orang awam kemudian memanggil pengerusi surau berkenaan dan memaklumkan kepada pejabat agama untuk tindakan lanjut.
“Hasil soal siasat mendapati, pasangan itu mengaku tidak mempunyai sebarang hubungan suami isteri atau mahram dan disyaki berkhalwat,” ujarnya.
Beliau berkata, kedua-dua mereka kini disiasat mengikut Seksyen 25(a)(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana disyaki melakukan kesalahan berkhalwat.
Sumber: BH Online (Zuliaty Zulkiffli)
The post Baru Seminggu Kenal! Pasangan Dicekup Buat Maksiat Dalam Tandas Surau appeared first on Borak Daily.






