Baru Tiba Untuk Misi Pengaman, 6 Anggota MALBATT Cedera Dalam L*tupan Di Lubnan

8 Nov 2024 • 10:41 AM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Seramai enam anggota Batalion Malaysia (MALBATT) dilaporkan cedera dalam satu insiden letupan oleh tentera Israel berdekatan Stadium Saida, Lubnan ketika pergerakan anggota MALBATT 850-12 dari Beirut ke Kem Marakah.

Kejadian itu berlaku pada 7 November 2024 pada jam 1.54 tengah hari waktu Lubnan atau 7.54 malam waktu Malaysia.

Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam satu kenyataan memaklumkan letupan tersebut telah menyasarkan sebuah kenderaan awam lain yang sedang menghala ke Beirut namun turut mengakibatkan kerosakan pada sebuah bas yang membawa anggota MALBATT 850-12.

“Akibat kejadian tersebut, seramai enam orang anggota MALBATT 850 mengalami kecederaan iaitu lima anggota melibatkan MALBATT 850-12 mengalami pelbagai cedera ringan termasuk seorang yang mengalami kecederaan di bahagian tangan (suspected closed fracture left arm) dan seorang lagi melibatkan anggota MALBATT 850-11 yang juga mengalami cedera ringan,” kata kenyataan ATM.

image is not available

Menurut kenyataan tersebut, anggota yang cedera di tangan telah segera dibawa ke Hospital Hamood di Saida untuk mendapatkan rawatan oleh Pegawai Perubatan MALBATT 850-11.

Difahamkan, seramai 220 MALBATT 850-12 (kumpulan pertama) berlepas ke Lubnan sejak kelmarin bagi menjalankan misi pengaman di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pergerakan penerbangan menggunakan pesawat Batik Air melibatkan penghantaran Kontinjen MALBATT 850-12 dan membawa pulang Kontinjen MALBATT 850-11 yang telah berkhidmat selama 12 bulan.

Sumber: Sinar Harian

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.