Bas 12 tahun tiada tali pinggang keledar, kerajaan kaji langkah keselamatan baru

LocalPolitics
10 Jun 2025 • 9:39 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Kerajaan sedang meneliti langkah penguatkuasaan lebih tegas terhadap kenderaan berat termasuk bas ekspres selepas didapati banyak yang masih beroperasi tanpa ciri keselamatan asas seperti tali pinggang keledar.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, bas yang terlibat dalam kemalangan maut di Jalan Raya Timur-Barat, Gerik baru-baru ini dibina pada tahun 2013 dan tidak dilengkapi dengan tali pinggang keledar kerana peraturan ketika itu belum mewajibkannya.

“Sejak 2020, semua bas baharu diwajibkan ada tali pinggang keledar untuk semua penumpang. Tapi bas ini sudah berusia 12 tahun, jadi tidak tertakluk kepada peraturan itu,” katanya memetik laporan Kosmo Online.

Dalam masa sama, Anthony turut mengakui penggunaan pengehad kelajuan dalam kenderaan berat seperti bas dan lori masih tidak berkesan sepenuhnya, memandangkan banyak peranti telah diubah suai selepas pemeriksaan Puspakom.

“Memang semua kenderaan berat perlu ada pengehad kelajuan, tetapi kita dapati selepas pemeriksaan, ada yang ubah suai supaya boleh memandu laju semula,” ujarnya.

Beliau berkata kementerian kini meneliti pelaksanaan teknologi tambahan seperti kamera pemantau serta peraturan undang-undang lebih ketat untuk memastikan peranti keselamatan tidak dimanipulasi.