Bas bawa rombongan pelajar sekolah kemalangan alami masalah teknikal ketika turun bukit

31 Aug 2026 • 8:47 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Bas bawa rombongan pelajar sekolah kemalangan alami masalah teknikal ketika turun bukit
Laporan Sinar Harian pada Isnin berhubung kejadian.

TUARAN - Bas yang membawa rombongan pelajar sekolah dan menyebabkan sembilan daripadanya cedera, dipercayai mengalami masalah teknikal ketika menuruni bukit dan hilang kawalan lalu masuk ke lorong bertentangan serta bergesel dengan sebuah kenderaan lain.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintenden Noraidin Ag Maidin berkata, kemalangan itu membabitkan sebuah bas , Perodua Alza dan van Toyota Hiace.

Menurutnya, siasatan awal mendapati bas berkenaan membawa rombongan dari sebuah sekolah di Ranau menuju ke sebuah sekolah di Tuaran.

"Ketika melalui kawasan selekoh dan menuruni bukit, bas itu dipercayai mengalami masalah teknikal sebelum hilang kawalan lalu memasuki lorong bertentangan serta bergesel dengan sebuah Perodua Alza.

"Bas berkenaan kemudiannya bergerak ke bahu jalan dan melanggar lereng bukit sebelumv terbalik serta terkena sebuah van yang berada di lokasi,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, seorang guru pengiring dan beberapa pelajar mengalami kecederaan ringan serta mendapatkan rawatan di Hospital Kota Belud dan Hospital Tuaran.

"Kesemua mangsa yang menerima rawatan telah dibenarkan keluar dari hospital dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan,” katanya.

Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan kemalangan membabitkan sebuah bas yang disewa untuk membawa 35 pelajar dan seorang guru dari sebuah sekolah menengah di daerah ini.

Dalam kejadian itu, sembilan pelajar mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved