IPOH - Tidak sampai 24 jam laporan suara rakyat mengenai penamatan perkhidmatan bas henti-henti bagi laluan Kuala Kangsar-Lenggong-Gerik disiarkan Sinar Harian, penduduk terlibat boleh kembali menarik nafas lega apabila ia kembali beroperasi esok.
Pengumuman tersebut dibuat menerusi makluman rasmi di laman Facebook Perak Transit Berhad - Bus Services sebentar tadi.
"Para penumpang yang dihargai, dimaklumkan bahawa perkhidmatan Bas Henti-Henti bagi laluan Kuala Kangsar-Lenggong-Gerik melibatkan laluan 99A, 99B, 99C & 99D akan mula beroperasi semula. Tarikh operasi pada Jumaat, 3 April 2026.
"Kami amat menghargai sokongan berterusan daripada para pengguna dan berharap perkhidmatan ini terus memberi manfaat kepada semua," jelas kenyataan tersebut.
Terdahulu Sinar Harian melaporkan penduduk di sekitar Lenggong merayu agar perkhidmatan bas henti-henti bagi laluan Kuala Kangsar–Lenggong–Gerik dikembalikan segera selepas ia ditamatkan sejak 1 April lalu yang menjejaskan kehidupan harian pelbagai lapisan masyarakat.
Dalam tinjauan yang dibuat di Terminal Bas Lenggong mendapati rata-rata pengguna terutama warga emas dan golongan berpendapatan rendah kini berdepan kesukaran untuk bergerak khususnya bagi urusan mendapatkan rawatan, bekerja dan ke sekolah.
Perak Transit Berhad dalam maklum balas kepada Sinar Harian memberitahu penamatan perkhidmatan bas Perak Transit bagi laluan Kuala Kangsar-Lenggong Gerik bermula 1 April disebabkan peningkatan kos operasi serta ketiadaan subsidi daripada kerajaan.
Pengurus Besar Perak Transit Berhad, Ismail Jamal berkata, perkhidmatan bas henti-henti bagi laluan berkenaan dimulakan sejak tahun 2019 lagi menerusi inisiatif pembiayaan swasta (PFI).
Menurutnya, sepanjang enam tahun beroperasi, tiada subsidi diterima untuk laluan berkenaan berbanding laluan-laluan lain yang masih beroperasi.

