IPOH - Penamatan perkhidmatan bas Perak Transit bagi laluan Kuala Kangsar-Lenggong Gerik bermula 1 April tahun ini disebabkan peningkatan kos operasi dan ketiadaan subsidi daripada kerajaan.
Pengurus Besar Perak Transit Berhad, Ismail Jamal berkata, perkhidmatan bas henti-henti bagi laluan berkenaan dimulakan sejak tahun 2019 menerusi inisiatif pembiayaan swasta (PFI).
Menurutnya, sepanjang enam tahun beroperasi, tiada subsidi diterima untuk laluan berkenaan berbanding laluan-laluan lain yang masih beroperasi.
"Kita sudah mengemukakan permohonan kepada kerajaan negeri dan persekutuan untuk mendapatkan subsidi bagi laluan tersebut tetapi tidak berjaya.
"Oleh itu, pihak syarikat terpaksa membuat keputusan menamatkan perkhimatan ini kerana kita menanggung kerugian akibat peningkatan kos operasi," katanya kepada Sinar Harian.
Ismail berkata, laluan Kuala Kangsar-Lenggong-Gerik itu kurang mendapat sambutan berbanding di kawasan bandar.
Jelasnya, walaupun masih ada penumpang dalam kalangan pelajar sekolah serta warga emas menggunakannya tetapi ia masih tidak mampu menampung kos operasi yang kian meningkat.
Menurutnya, penamatan perkhidmatan bas bagi laluan tersebut sudah dimaklumkan lebih awal secara rasmi kepada Kementerian Pengangkutan, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), kerajaan negeri serta pengguna.
Beliau berkata, sehingga kini pihaknya kekal dengan keputusan untuk tidak meneruskan perkhidmatan bas henti-henti tanpa subsidi penuh bagi laluan tersebut.



