Bas terbakar ketika bergerak, 14 penumpang selamat

LocalCars
15 Sep 2026 • 6:58 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Bas terbakar ketika bergerak, 14 penumpang selamat
Bas terbakar ketika sedang bergerak di KM137 Lebuhraya PLUS arah utara, Yong Peng, namun 14 penumpang dan seorang pemandu berjaya keluar menyelamatkan diri. - Foto tular
Image from: Bas terbakar ketika bergerak, 14 penumpang selamat
Sebuah bas terbakar ketika sedang bergerak di KM137 Lebuhraya PLUS arah utara, Yong Peng, Batu Pahat. - Foto JBPM Johor

BATU PAHAT – Seramai 14 penumpang berdepan detik cemas apabila bas persiaran yang dinaiki mereka terbakar di Kilometer 137 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, dekat sini pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.37 petang itu, kesemua penumpang bersama seorang pemandu berjaya menyelamatkan diri sebelum api merebak dan memusnahkan sebahagian besar bas berkenaan.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yong Peng, Pegawai Bomba Kanan II (PBK II) Muhammad Amier Syah Hamzah berkata, operasi pemadaman melibatkan sembilan anggota bomba dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT).

“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO), didapati benar berlaku kebakaran membabitkan sebuah bas yang sedang dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Lapangan Terbang Subang.

“Kebakaran berlaku ketika bas sedang bergerak dan dianggarkan kira-kira 80 peratus kenderaan itu musnah,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

**media[3648720]**

Menurut beliau, tindakan pantas anggota bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak lebih jauh.

“Api berjaya dipadamkan sepenuhnya dan keadaan dipastikan selamat sebelum operasi ditamatkan pada jam 2.48 petang,” katanya.

Bagaimanapun, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian tersebut kerana semua penumpang dan pemandu sempat keluar dari kenderaan sebelum api marak.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved