SUNGAI BULOH - "Saya tak sedar pandu lorong kanan lama, rasanya memandu pun tak laju sangat."
Itu antara alasan diberikan seorang pemandu sebuah bas ekspres ketika ditahan selepas didapati memandu secara berterusan di lorong paling kanan dalam Ops Kenderaan Perdagangan di Lebuhraya Utara-Selatan di Rawang, di sini, pada Selasa.
Bas terbabit awalnya diekori kenderaan dinaiki pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan didapati melakukan kesalahan berkenaan.
Pegawai JPJ yang bertugas merakam tindakan pemandu bas itu sebelum bertindak menahan bas terbabit untuk pemeriksaan dan tindakan selanjutnya.
Pemandu berusia lingkungan 40-an itu bagaimanapun memberikan alasan tidak memandu laju dan mendakwa tidak sedar memandu di lorong kanan.
Sinar Harian yang berpeluang mengikuti operasi dijalankan JPJ Selangor mendapati kebanyakan kenderaan perdagangan gemar menggunakan lorong kanan untuk memotong.
Bagaimanapun, mereka tidak mengubah haluan kepada asal dan mengekalkan kedudukan di lorong tersebut.
Operasi yang bermula kira-kira jam 9 pagi itu dijalankan sekitar Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) menghala Tanjung Malim.
**media[3648546]**Dalam operasi sama, seorang pemandu lori mendakwa terpaksa memandu di lorong kanan untuk mengejar masa.
Kenderaan dipandunya itu ditahan sekitar Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Rawang selepas didapati dipandu laju selain menggunakan lorong kanan secara berterusan.
Pemandu lingkungan 40-an itu mendakwa tidak tahu kesalahan berkaitan pemanduan di lorong kanan selain memberi alasan sedang mengejar trip menghantar barangan yang dibawanya.
Sementara itu, Pengarah JPJ Selangor, Datuk Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata, sebanyak 85 kenderaan perdagangan diperiksa manakala 33 kenderaan diambil tindakan.
"Kesemua 33 tindakan itu membabitkan kesalahan memandu di lorong kanan secara berterusan, dengan 33 kesalahan direkodkan dan 33 notis saman dikeluarkan.
"Dua kenderaan turut disita dalam operasi berkenaan," katanya dalam sidang akhbar selepas operasi pada Selasa.
Katanya, kesalahan memandu secara berterusan di lorong paling kanan membabitkan kenderaan barangan atau kenderaan perkhidmatan awam adalah tindakan yang diambil berdasarkan Kaedah 4A, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.
"Kesalahan berkenaan turut disenaraikan dalam Senarai Kesalahan Tindakan Penguatkuasaan JPJ Tahun 2026.
"JPJ Selangor tidak akan berkompromi terhadap sebarang kesalahan yang melanggar undang-undang dan peraturan jalan raya, khususnya kesalahan yang boleh mengancam keselamatan pengguna serta menjejaskan kelancaran lalu lintas," katanya.





