Basikal Lumba Atlet Jepun Lebih Mahal Daripada Tesla Cybertruck

TechnologyDigitalCars
13 Aug 2024 • 1:15 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Sukan Olimpik sudah berakhir. Kawah “nirapi” telah dipadamkan dan Tom Cruise telah melompat dari Stade de France dan juga kapal terbang dua hari yang lalu. Walaupun temasya sudah berakhir dengan jayanya, insiden pelumba basikal Jepun Shinji Nakano melanggar pelumba negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom ketika perlumbaan akhir acara keirin Ahad lalu masih hangat diperkatakan.

image is not available
Gambar – Getty Images

Masih berlaku insiden buli siber dilakukan warganet ke atas Shinji Nakano walaupun beliau sudahpun meminta maaf dan kesalahan sebenarnya dilakukan oleh Muhammad Shah yang memasuki laluan beliau. Ketika membaca berita insiden ini, saya tertarik dengan rekaan basikal yang ditunggang oleh Nakano. Tahukah anda basikal yang digunakan kontinjen Jepun setiap satunya lebih mahal berbanding sebuah Tesla Cybertruck?

Basikal V-Izu TCM-2 dibuat oleh firma Toray daripada bahagian gentian karbon dengan setiap satunya bernilai £108,000 (RM614,018). Ini lebih mahal berbanding sebuah Tesla Cybertruck Cyberbeast yang dijual pada harga $119,990 (~RM 533,865).

image is not available
Toray V-Izu TCM-2

Basikal WX-R Vorteq yang digunakan oleh Datuk Mohd Azizulhasni Awang di Paris dilaporkan bernilai RM385,800 sebuah sementara pemenang pingat perak acara keirin dari Australia, Matthew Richardson sekadar menggunakan basikal “murahan” bernilai £47,000 (~RM 267,210). Saya tidak dapat menemukan apakah harga basikal yang digunakan kontinjen Belanda yang membolot jumlah pingat emas tertinggi di acara basikal di atas trek Olimpik 2024.

image is not available
WX-R Vorteq

Selain keseluruhan struktur dan rim tayar diperbuat daripada gentian karbon, mekanisme kayuhan basikal V-Izu TCM-2 juga unik kerana diletakkan pada bahagian kiri atas sebab bagi meningkatkan aerodinamik ketika dikayuh.

Pengajaran utama daripada artikel ini ialah bukan basikal mahal penentu kejayaan sebaliknya terletak pada keringat serta kudrat atlet yang menunggang. Diharapkan Muhammad Shah Firdaus Sahrom akan belajar daripada pengalaman beliau di Paris 2024 untuk memenangi pingat di Los Angeles 2028 nanti.