Rumusan Artikel
Polis percaya perasaan dendam termasuk penolakan cinta menjadi antara motif pembunuhan Irene Sofiya.
Suspek lelaki berusia 16 tahun merupakan rakan sekelas mangsa dan setakat ini tiada individu lain dikenal pasti terlibat.
Polis merampas batang besi sepanjang kira-kira 96 sentimeter yang dipercayai digunakan untuk memukul mangsa serta beberapa barang kes lain.
Siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan hampir lengkap dan kertas siasatan akan dirujuk kepada pihak pendakwaan untuk arahan lanjut.
Polis percaya perasaan dendam termasuk berkaitan penolakan cinta menjadi antara motif pembunuhan pelajar perempuan, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, di sebuah sekolah menengah di Yong Peng, Batu Pahat, Sabtu lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, bagaimanapun motif berkenaan masih diperhalusi menerusi siasatan yang sedang dijalankan.
Advertisement
“Polis percaya motif pembunuhan adalah akibat perasaan dendam suspek terhadap mangsa termasuk berkaitan penolakan cinta suspek dan menjalinkan hubungan dengan kawan baik sendiri.
“Bagaimanapun, perkara ini akan diperhalusi dalam siasatan yang masih dijalankan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata, suspek lelaki berusia 16 tahun yang ditahan bagi membantu siasatan merupakan rakan sekelas mangsa dan setakat ini tiada individu lain dikenal pasti terlibat.
Polis Rampas Batang Besi Dipercayai Digunakan Memukul Mangsa
Ab Rahaman berkata, sepanjang siasatan dari 4 hingga 8 Oktober, polis membuat beberapa siri rampasan dan penemuan barang kes di sekitar Yong Peng.
Antaranya ialah sebatang besi sepanjang kira-kira 96 sentimeter yang dipercayai digunakan untuk memukul mangsa.
Menurutnya, batang besi berkenaan dibaluti tali leher berwarna biru pada bahagian hujung yang dipercayai dijadikan sebagai pemegang.
“Berdasarkan laporan bedah siasat, kita percaya pukulan mengenai bahagian kepala, tetapi terdapat juga kesan pukulan pada badan, tangan dan beberapa anggota tubuh mangsa,” katanya.
Polis turut percaya berlaku pergelutan antara mangsa dan suspek berdasarkan keadaan di lokasi kejadian.
Meja dan kerusi ditemukan dalam keadaan terbalik selain sebuah pasu pecah, manakala terdapat kesan yang menunjukkan mangsa cuba mempertahankan diri.
Bagaimanapun, Ab Rahaman berkata siasatan setakat ini tidak menjurus kepada pasu berkenaan digunakan sebagai senjata dalam kejadian itu.
Pelbagai Barang Kes Dirampas
Selain batang besi, antara barang kes yang dirampas ialah iPhone 13 Pro, baju jersi Mizuno, seluar panjang hitam, sepasang selipar Adidas dan satu set dekoder jenama Alhua Technology.
Polis turut merampas seluar sukan hitam serta baju sukan putih dan merah bernombor 27 yang mempunyai kesan dipercayai darah.
Barang lain yang dirampas termasuk sebuah beg kanvas mengandungi peralatan tulis, beg galas mengandungi buku Matematik Tambahan dan kertas soalan SPM yang tertera nama Irene Sofiya, sepasang cermin mata, anak kunci berlambang Yamaha, botol minuman Owala, tiga helai kertas kehadiran pelajar serta sebuah kalkulator Casio berwarna merah jambu.
Ab Rahaman berkata semua barang kes berkenaan telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisis.
Ditanya mengenai kemungkinan berlaku cubaan merogol terhadap mangsa, beliau berkata setakat ini siasatan tidak mengesan perkara berkenaan.
Suspek Tiada Rekod Disiplin
Menurut Ab Rahaman, suspek juga setakat ini tidak mempunyai rekod masalah disiplin di sekolah.
Manakala isu berkaitan keadaan mental remaja berkenaan akan diserahkan kepada mahkamah sekiranya dia didakwa dan perlu dirujuk untuk pemeriksaan psikiatri.
Katanya, siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan hampir lengkap dan kertas siasatan dijangka dirujuk kepada Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor hari ini untuk arahan lanjut.
Pada 3 Oktober lalu, Irene Sofiya ditemukan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di sebuah dewan sekolah di Yong Peng kira-kira jam 5.50 petang sebelum disahkan meninggal dunia.
Susulan kejadian itu, suspek ditahan reman selama enam hari pada 4 Oktober lalu bagi membantu siasatan dan tempoh reman disambung enam hari lagi bermula esok.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.

Trauma Tumpul Di Kepala Punca Kematian Pelajar 16 Tahun Di Yong Peng, PDRM Jamin Tiada ‘Cover-Up’
The post Batang Besi Dibalut Tali Leher Dijumpai, Polis Dedah Dendam Cinta Ditolak Punca Kematian Irene Sofiya first appeared on Beautifulnara -Terkini dan Sensasi.






